Inspirasi Di Sebalik Glamor Dunia Penyiaran

Adakah ianya sekadar membaca berita utama seperti yang ramai sangkakan? Jelita rapati kisah hidup pembaca berita yang anda kenali.

Jelita - - Contents -

Bayangkan, wajah anda menjadi pembuka bicara di kala khabar penting disampaikan, nampak cukup gah dan mencanak populariti individu dengan tanggapan, hanya perlu membaca saja di depan skrin kamera. Sebelum kesemua ini ke udara, individu yang diamanahkan sebagai penyampai naskhah terkini itu perlu mendapat latihan menyeluruh dan tahu mengawal emosi pada masa sama, menyampaikan impak tepat kepada penontonnya. Ayuh kenali empat penyampai berita wanita Media Prima ini.

Intan Ezreena Amir Hamzah Tidak Kenal Erti Gagal Demi mengejar minat dalam bidang penyiaran, Intan Ezreena Amir Hamzah, 32, tekad untuk mencuba bakat menjadi penyampai berita. Pernah gagal dalam uji bakat menjadi penyampai berita tidak mematahkan semangatnya kembali mencuba untuk kali kedua. Berkat kesabaran dan demi mengejar cita-cita dia akhirnya diterima menjadi wartawan penyiaran di stesen televisyen TV3. “Sejak awal, saya memang tertarik untuk menceburi bidang ini. Namun, perancangan saya selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian dalam kursus Media Massa terpaksa saya tanamkan kerana ibu mahu saya menjadi guru sepertinya dan arwah ayah. Menjadi impiannya agar saya dapat meneruskan legasi dalam dunia perguruan juga seperti dua adik yang lain. “Saya yang akur dengan kata-kata ibu telah melanjutkan pengajian dalam kursus Teaching English as a Second Language (Tesl) sehingga ke peringkat sarjana muda. Setelah tamat pengajian, saya menyuarakan hasrat kepada ibu untuk menjadi penyampai berita kerana ingin mencuba sesuatu yang berbeza daripada adik beradik yang lain,” kata Intan.

UJI BAKAT PERTAMA

Menurutnya, dia mahu menguji diri dan bakat yang ada selain menggalakkan ahli keluarga lain dan generasi seterusnya untuk berani mencari kelainan dalam menentukan masa depan sendiri. Intan tekad untuk meneruskan minatnya dalam bidang kewartawanan. “Ibu akhirnya bersetuju membenarkan saya meneruskan minat menjadi wartawan. Saya kemudian menyertai program Journalist Pre-Entry Programme (JPEC) pada pertengahan 2010. Tiga tahun menjadi wartawan, saya berpeluang untuk mencuba bakat sebagai penyampai berita. Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana gagal pada uji bakat pertama,” tambahnya. Bermula dari situ, Intan tekad untuk memperbaiki prestasi dan mengasah bakat untuk menyertai uji bakat kedua. Berkat doa dan usaha keras, akhirnya dia diterima menjadi penyampai berita TV3 dan juga wartawan di meja berita luar negara.

PAHIT MANIS PENYAMPAI BERITA

Kerjaya sebagai penyampai berita memerlukan anda sentiasa bersedia berdepan kritikan orang awam tidak kira di media

sosial dan sebagainya. Bagi Intan, kritikan itu adalah lumrah apatah lagi manusia tidak lari melakukan kesilapan. Kritikan yang diterima dijadikan sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri pada masa akan datang. “Perkara yang tidak mungkin saya lupakan ialah apabila menyampaikan berita mengenai kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang meragut 14 nyawa pelajar, serta seorang guru. Surat mangsa yang menyatakan mahu membawa ibu bapanya ke syurga, membuatkan hati saya pilu kerana teringatkan arwah ayah. Sebagai manusia biasa, sukar untuk menahan emosi sehingga terasa terlalu sebak lantas menangis. Saya langsung tidak menyangka video berkenaan menjadi tular dan memberi impak yang besar kepada penonton,” katanya lagi. Intan memberitahu, dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik. Pesanannya, jika mahu menceburkan diri dalam apa jua bidang sekali pun, pastikan lakukan dengan ikhlas dan jujur. Sentiasa utamakan ibu bapa atau pasangan jika sudah berkahwin serta keluarga. Doa mereka ini yang memudahkan setiap urusan dan cabaran dalam hidup. Affizza Azmi - “Penyampai Berita Punya Tanggungjawab Besar” Memilih untuk menceburi dunia penyiaran kerana minat yang mendalam, Affiza Azmi, 31, menganggap kerjayanya adalah satu tanggungjawab besar yang diamanahkan kepadanya. Baginya, penyampai berita dianggap sebagai front liner sesebuah stesen televisyen dan harus menjaga kelakuan dan keperibadian. Lepasan Ijazah Sarjana Kewartawanan di Universiti of South Australia ini pernah bekerja di bahagian bilik berita TV9 selama tujuh tahun dan kini menjadi penerbit di rangkaian buletin Media Prima. Wanita ini juga adalah hos rancangan Global TV9 dan pernah mengacarakan beberapa program terbitan TV9. “Bagi saya komitmen yang tinggi perlu diberikan jika menjadi seorang penyampai berita. Apabila berada di hadapan, kami adalah imej stesen televisyen. Jadi penyampaian berita yang dilakukan perlu telus dan benar. Sepanjang bergelar penyampai dan penerbit berita pelbagai kecaman dan tuduhan tidak berasas yang saya terima. Namun ia tidak mematahkan semangat malah menjadi lebih positif dan fokus dengan apa yang dilakukan,” kata Affiza.

KUMPUL ILMU DAN PENGALAMAN

“Sebelum bergelar penerbit, saya adalah seorang wartawan. Justeru, setiap topik diberi perlu dikaji daripada pelbagai aspek sebelum ianya boleh dijadikan sebagai berita. Selain memperoleh banyak ilmu, tugasan juga pelbagai termasuk berkaitan politik, bisnes, hiburan, kesihatan, kecantikan juga jenayah. “Tugasan yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah berkesempatan menemu bual banduan wanita yang dipenjarakan kerana dadah. Kisah wanita itu sangat menyentuh hati dan menyebabkan saya sebak ketika membuat liputan di Penjara Kajang bersama krew bersempena hari ibu. “Bukan itu saja, saya pernah mengikuti operasi polis menyerbu markas pelacur mak nyah di sekitar Kuala Lumpur. Pada ketika itu, baru saya tersedar melihat pelbagai ragam manusia dan betapa kedaifan serta kesempitan hidup menjadi punca kebanyakan mereka terpaksa memilih jalan hitam ini walaupun ianya bukan kehendak mereka. Saya belajar perlu elak hanya menilai manusia daripada luaran kerana anda mungkin tidak arif apa yang perlu ditempuhi setiap daripada mereka ini,” tambahnya lagi.

Fazilah Hani Harun – “Saya Sukakan Kelainan dan Cabaran”

Demi mencabar diri agar lebih berani, Fazilah Hani Harun, 38, memutuskan wartawan penyiaran NTV7 adalah citacitanya setelah menamatkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional dalam bidang Perniagaan Kewangan. Bagi Fazilah, berlainan bidang daripada pengajian tidak bermakna anda tidak boleh mencuba melakukan perkara baru. Dia mengakui bahawa dirinya seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Di awal pembabitannya sebagai wartawan penyiaran, dia kurang berkeyakinan untuk beraksi di depan kamera juga orang ramai. “Alhamdulillah setelah sekian lama, saya semakin berani dan tampil yakin apabila sudah biasa di depan kamera. Kini, sudah hampir 12 tahun saya berkhidmat bersama NTV7 malah kini, bertugas sebagai Penerbit Eksekutif selain Penyampai Berita,” katanya.

BERPELUANG KE LOS ANGELES

Menurut Fazilah, terlalu banyak kenangan pahit dan manis sepanjang tempoh perkhidmatan. Dia menganggap setiap satu memori itu sesuatu yang cukup berharga kerana itulah yang banyak membantu membentuk diri ke tahap sekarang. Antara pengalaman yang tidak mungkin dia lupakan ialah berpeluang ke Los Angeles untuk menemu bual secara eksklusif bersama pelakon filem Passengers. “Teruja bukan kepalang, sukar digambarkan dengan kata-kata. Bayangkan dapat bertentang mata dengan pelakon popular Hollywood seperti Chris Pratt dan Jennifer Lawrence. Meskipun hanya berada di sana untuk dua malam selepas menempuhi melalui perjalanan panjang memakan masa 18 jam, ia adalah pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan,” katanya kepada Jelita.

KELUARGA ADALAH KEUTAMAAN

Tambah Fazilah lagi, dia lebih gemar berada di rumah berbanding di luar jika tidak bekerja. Sebaik mungkin, dia mahu menghabiskan masa bersama keluarga kerana mereka adalah keutamaannya dan sebolehnya cutinya akan dihabiskan sama ada melancong atau

bersantai di rumah bersama ibu dan adik-beradik yang lain. “Kerja saya selalunya tidak menentu masa, adakalanya terpaksa bekerja sehingga lewat pagi jika mempunyai program khas seperti Pilihan Raya Umum (PRU-14) hingga menyebabkan saya terpaksa pulang lewat. Jadi apabila bercuti saya akan pastikan ianya dimanfaatkan bersama ibu dan keluarga yang lain. “Ibu adalah idola saya. Saya amat mengagumi ketabahan wanita berkenaan malah dialah sumber rujukan jika ada sebarang permasalahan. Ibu akan membantu saya mencari jalan penyelesaian dan membuat keputusan. Selain itu, saya amat mengagumi wanita muda yang berjaya seperti Datin Vivy Yusof. Mereka ini memberi inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya dalam hidup. “Akhir kata, kepada semua wanita yang berada di luar sana jangan pernah berputus asa dalam apa jua keadaan meskipun ia sukar. Sentiasa berharap pada Allah dan yakin Dia akan memberikan yang terbaik jika berusaha dalam melakukan sesuatu perkara,” kata Fazilah.

Azleena Najri – Tidak Sangka Jadi Penyampai Berita Dalam hidupnya, dia tidak pernah menyangka bahawa dia akan menjadi seorang penyampai berita namun rancangan yang diaturkan oleh Allah dianggap sebagai rezeki. Itulah yang dialami Azleena Najri, 39, yang kini menjadi Pengurus Korporat Hal Ehwal Berita, rangkaian televisyen Media Prima Berhad. “Pada mulanya, saya menyertai NTV7 pada 2005 sebagai wartawan. Ketika itu, saya langsung tidak berminat untuk menjadi penyampai berita kerana malu berhadapan dengan kamera. Namun, seorang senior, Datin Seri Norazlina Awang Had, telah menemui potensi sebagai penyampai berita dalam diri lantas mendorong saya untuk menyertai uji bakat. Dia turut membantu melatih saya sehingga menjadi seorang penyampai berita,” kata Azleena.

CUBA SESUAIKAN DIRI

Menjadi wanita bekerjaya pada masa sama, seorang ibu serta isteri bukan perkara mudah. Itu adalah cabaran terbesar dihadapi Azleena sepanjang kariernya. Waktu kerja yang tidak menentu menyebabkan tiada keseimbangan dalam kerjaya dan keluarga. “Tidak kira sesibuk mana sekali pun kerja yang dilakukan, perlu mempunyai masa untuk bersama dengan keluarga terutamanya anak saya walaupun hanya beberapa minit. Bagi saya masa yang berkualiti iaitu memberi perhatian penuh dengan mengadakan perbualan dengan anak, tidak kira sama ada di dalam kereta dalam perjalanan ke sekolah atau sebelum tidur. Saya juga mengajar anak untuk terlibat dalam kerja rumah seperti melipat pakaian atau membersihkan rumah. Saya percaya ia akan membantu mereka untuk belajar tentang tanggungjawab daripada awal. “Pada 2014, saya telah melakukan satu keputusan yang sukar iaitu meninggalkan kerjaya sebagai penyampai berita kerana komitmen sebagai seorang ibu perlu diberikan fokus. Jujur saya akui amat menyayangi karier dan rakan sekerja. Namun, Allah mempunyai rencana yang lebih baik. Saya ditawarkan pekerjaan lain tetapi masih berada di bilik berita cuma di bahagian operasi. Ia memudahkan saya untuk mengimbangkan antara kerjaya dan keluarga. Tanggungjawab juga semakin besar dan saya terpaksa mengurus semua stesen televisyen di bawah Media Prima,” katanya lagi.

PAHIT MANIS DI BILIK BERITA

Azleena mengakui sukar baginya untuk meninggalkan industri media ini kerana banyak kenangan dan pengalaman yang diterima sepanjang bekerja. Bekerja sebagai wartawan memerlukan mereka untuk ke luar negara untuk membuat liputan mengenai berita luar. Azleena berkata, dia berpeluang untuk ke Mozambique untuk membuat liputan situasi penyakit Aids dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP). Bukan itu saja, dia dikatakan bertuah untuk membuat liputan mengenai Perkahwinan Diraja antara Putera William dan Kate Middleton selama hampir sebulan. “Peristiwa yang paling sedih dan tidak mungkin dapat dilupakan ialah liputan tragedi pesawat hilang MH370 dan pesawat ditembak jatuh MH17. Ia agak memberi kesan kerana suami saya juga bekerja sebagai Krew Penerbangan Malaysia (MAS). Tragedi ini membuka mata kami sekeluarga mengenai cabaran yang dihadapi suami semasa bekerja. “Pesan saya, hargai keluarga anda sebelum mereka hilang daripada mata. Keluarga tempat mengadu kala susah dan senang. Buat wanita di luar sana, selalu percaya dengan perancangan Allah. Ada kala ia akan mengambil masa kerana rezeki akan datang dalam pelbagai bentuk. Nikmati kehidupan bersama dengan yang tersayang dan hargainya,” ujarnya.

Intan Ezreena Amir Hamzah

Bersama suami tercinta, Asrul Nizam Kadir

Affizza Azmi

Di bilik berita NTV7 membuat persediaan Fazilah Hani bersama ibunda tercinta Raya butHari Menyam keluarga bersama Aidilfitri

Fazilah Hani Harun

Azleena bersama keluarga tercinta

Bercuti ke Langkawi dan rakan bersama keluarga

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.