Suami Isteri Dugaan Utuhkan Perkahwinan Jarak Jauh

Bukan semua wanita bertuah untuk didampingi suami setiap hari. Demi mencari rezeki dan menjalankan tugas, ada kala suami terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta.

Jelita - - Contents -

Walaupun jauh tidak bermakna suami isteri tidak boleh memupuk rasa cinta seperti pasangan lain. Jangan jadikan alasan berjauhan untuk suami atau isteri mengambil kesempatan untuk curang. Penulis sendiri pernah merasai berjauhan dengan bapa yang bekerja jauh dan hanya pulang pada hujung minggu. Tidak dapat dibayangkan bagaimana isteri yang terpaksa melepaskan suami disayangi bekerja jauh. Pengalaman sama turut dialami Annur Syuhadah Abu Sufian, 31, yang berjauhan dengan suami, Khairul Jasni Abdul Karim, 37, selama lima tahun kerana bekerja di pelantar minyak di Terengganu.

PERNAH RASA BOSAN

Selama menjalani kehidupan suami isteri jarak jauh, Annur mengakui dia pernah merasa bosan dengan suaminya walaupun dia sedar ketika itu suaminya sedang bekerja. Pada ketika itu dia sedang mengandungkan anaknya yang ketiga. “Mungkin kerana pembawakan bayi, emosi saya menjadi tidak stabil pada ketika itu. Namun setelah berfikir semula, saya sedar itu hanya alasan untuk menyedapkan hati dan nafsu sahaja. Jika berfikir melalui akal dan iman, sebenarnya perasaan itu tidak benar. “Suami yang bekerja sebagai pipe fitter di Terengganu hanya pulang seminggu sahaja dalam masa sebulan. Jadi akan ada waktu emosi menjadi tidak menentu dan menimbulkan kemarahan saya jika dia tidak membantu melakukan kerja rumah. Hampir setiap hari saya memarahinya namun suami hanya diam dan menurut sahaja arahan,” kata Annur. Namun lain pula yang terjadi apabila suaminya pulang semula ke tempat kerja. Annur memberitahu dia akan menangis dan menghantar pesanan ringkas pada suaminya hampir setiap hari untuk menyatakan rasa rindu.

TIDAK MUDAH BERDIKARI TANPA SUAMI

Menurut Annur lagi, dia berjauhan dengan suami sejak mereka berkahwin. Jadi segala urusan terpaksa dilakukan bersendirian termasuk menjaga anak, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Sebagai seorang ibu, dia harus bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi hari tanpa suami di sisi. “Bukan mudah untuk hidup sebagai suami isteri jarak jauh. Kos sara hidup yang tinggi dan perbelanjaan semuanya terpaksa dibahagi kepada dua. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum membuat keputusan. Jadi komunikasi antara kami berdua sangat penting bagi mengelak berlaku masalah besar pada masa akan datang,” tambahnya.

CARA KEKALKAN HUBUNGAN JARAK JAUH

Bagi Annur, perkahwinan jarak jauh (PJJ) ini bukan satu alasan untuk hubungan menjadi renggang. Walaupun jauh tidak bermakna anda tidak boleh menghangatkan semula hubungan seperti ketika bercinta dahulu. Semuanya memerlukan usaha yang konsisten daripada kedua belah pihak. Ini antara amalan yang dilakukan Annur. * AKSI SPONTAN DAN BERSAHAJA Tindakan spontan dan tanpa dijangka selalunya menjadi. Pada isteri yang memang melakukan kerja rumah dan menguruskan anak cuba lakukan aksi spontan dengan mencium pipi suami. Mungkin boleh dilakukan secara spontan seperti ketika mengutip baju kotor, suami ada disebelah dan tanpa berlengah terus mencium pipi suami. Ini menunjukkan mesej simbolik bahawa anda rindu kepada suami. * MASAK DI RUMAH Sebagai seorang isteri tugas memasak memang perlu dilakukan. Biasanya golongan suami memang tidak cekap di dapur. Namun, hubungan PJJ ini selalunya membantu suami menjadi seorang yang pandai memasak. Mungkin si isteri boleh menyuruh suami untuk memasak untuk anda. Jadi daripada situ anda boleh membantu suami dan bergurau senda bersamanya. Ia boleh mengeratkan semula hubungan yang renggang. * BUAT KEJUTAN Sebelum suami tiba di rumah, mungkin si isteri boleh mengubah sedikit penampilan berlainan daripada hari biasa seperti memakai solekan atau menggayakan baju tidur yang sedikit seksi. Hias bilik tidur dengan kelopak mawar atau bauan yang boleh menghidupkan suasana mengikut kreativiti masingmasing. Pasti suami tidak mahu berenggang dengan anda. * KELUAR BERDUA SAHAJA Ini perkara wajib yang perlu dilakukan. Apabila suami pulang, ajak dia untuk keluar berdua. Tinggalkan anak anda bersama pengasuh atau ahli keluarga. Sekali sekala, kosongkan fikiran mengenai kerja rumah dan anakanak. Mungkin boleh keluar menonton wayang atau pergi ke restoran yang privasi untuk makan malam romantik. Menurut Annur lagi, selepas kelahiran anaknya yang ketiga pada Mac yang lalu, suaminya memberi kejutan kepadanya bahawa dia mahu berhenti bekerja dan melakukan perniagaan sendiri. Ia adalah hadiah yang sangat berharga kerana setelah hampir enam tahun berjauhan, dia kini tidak perlu risau kerana suaminya kini berada di sisi untuk membantunya menguruskan keluarga.

“Bukan mudah untuk hidup sebagai suami isteri jarak jauh. Kos sara hidup yang tinggi dan perbelanjaan semuanya terpaksa dibahagi kepada dua. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum membuat keputusan.”

Bukan mudah menjaga anak tanpa suami di sisi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.