Adab & Etika Perbaiki Sikap & Peribadi, Diri Dihormati

Satu jari tuding kepada orang lain, empat mengaju pada diri anda. Sudahkah anda perbetulkan kelakuan bila di tempat awam?

Jelita - - Contents -

Kenyataannya, dalam kehidupan kita ada pelbagai perkara berlaku setiap hari, sama ada perkara berkenaan berlaku kepada diri sendiri atau diri orang lain. Daripada situasi ini juga, anda dapat mempelajari sesuatu mengenai sikap manusia atau individu. Ada yang memperlihatkan sikap keakuan dan ada pula yang mengamalkan sikap kekitaan. Yang cantik tidak semestinya elok dan yang buruk itu tidak semestinya tidak baik. Jadilah insan bijak untuk menyaring kebaikan dalam hidup. Menyentuh mengenai sikap lagi, senario di tempat awam mungkin lokasi terbaik untuk melihat cerminan diri manusia. Tepat sekali pepatah berbunyi rambut sama hitam tapi hati lain-lain dan frasa Inggeris juga ada menyebut; don’t judge a book by its cover. Pasti anda pernah melihat ada individu membuang sampah di tempat awam seperti di laluan pejalan kaki, di medan awam mahupun di stesen bas. Meskipun yang dibuang itu hanya puntung rokok atau pembalut gula-gula, ia tetap dianggap sampah. Walaupun saiznya kecil sebesar jari atau sehelai plastik nipis, ia tetap tidak mendatangkan manfaat kepada kelestarian sejagat, malah menjadi agen pemusnah alam semesta sebenarnya. Justeru, diri perlu ada kesedaran untuk mengambil endah akan persekitaran kerana apa yang kita lakukan itu adalah refleksi diri. Andai kata berpakaian segak, namun hendak membuang pencungkil gigi pun anda tidak mampu membuangnya ke tempat yang sepatutnya, apakah pandangan orang yang melihat? Sedikit sebanyak pasti tercetus dalam minda bahawa anda tidak berdisiplin. Cuba letakkan diri dalam situasi di taman rekreasi. Ada remaja wanita sedang berjalan sambil menyedut minuman dan tiba-tiba kotak minuman berkenaan dilemparkan ke dalam tong yang disediakan, tapi lemparannya tersasar dan tidak masuk ke dalam tong sampah. Dia tidak pula berpatah balik untuk mengutip kotak (sampah) yang dibuangnya. Tentu kita yang melihat berasa terusik dengan apa yang berlaku di depan mata. Kalau tidak melabelkan dia pemalas, sedikit sebanyak akan terfikir kenapa tidak dibuang betul-betul di dalam tong? Lebih memburukkan pandangan masyarakat terhadap sikap manusia ialah apabila berhadapan dengan individu yang tidak mempunyai adab ketika berbicara dan berurusan mengenai sesuatu perkara. Jangan pula dengan wajah cantik molek itu anda anggap ia adalah tiket untuk anda memandang rendah kepada orang lain serta bercakap dengan nada mengherdik sambil mata juga dijegil. Jika berada dalam situasi marah atau tertekan sekalipun, cuba kawal diri. Usah babitkan orang luar mengenai apa yang anda hadapi dalam diri. Jangan mengheret mereka ke dalam permasalahan anda kerana mereka tidak tahupun anda sedang berhadapan situasi genting ketika itu. Sebaliknya, jika bercakap dengan berhemah dan dalam nada terkawal, anda akan lebih dihormati. Resam kehidupan, sekali kita berbuat khilaf ia akan terus diingati. Jadi, jangan ‘calar’ rekod peribadi diri kerana kita adalah insan terpilih, memiliki akal fikiran serta rupa paras sempurna. Manfaatkan kesempurnaan sikap dan sifat supaya menjadi lebih baik. Justeru, dengan nota ingatan ini diharap anda mampu mengubah diri ke arah yang lebih baik. Hidup adalah karma, sekali anda berbuat kebaikan, pasti ada kebaikan lain menunggu dan kita juga ingin dihargai, maka hargai terlebih dulu orang di sekeliling anda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.