Hias Rumah Serlahan Dekorasi Bermotif

Elemen corak menjadi trik berguna untuk memberi kelainan pada ruang tertentu. Pilihlah mengikut kehendak serta kesesuaian tema kediaman anda.

Jelita - - Contents -

Dekorasi bermotif adalah trend yang semakin popular untuk menambah seri pada ruang kediaman. Padanan corak menarik boleh mewujudkan harmoni dalam sesebuah ruang. Warna, garis dan tekstur juga harus dipertimbangkan bagi melengkapkan keseluruhan dekorasi yang memiliki identiti tertentu. Corak paling biasa diterapkan dalam reka bentuk dalaman adalah seperti berikut.

JALUR

Jalur menegak boleh memberi ilusi tinggi pada ruang yang mempunyai siling rendah. Corak jalur menegak juga dianggap sebagai elegan dan boleh diguna pada ruang yang berkonsepkan moden atau klasik. Jalur mendatar pula menjadikan sesebuah ruang itu kelihatan lebar. Jalur mendatar juga boleh diguna pada sesebuah ruang jika ingin merendahkan ketinggian siling.

CORAK KOMPLEKS

Corak kompleks adalah gabungan warna dan garis yang pelbagai. Ia boleh menjadikan sesebuah ruang yang besar tampak kecil. Bagi ruang yang kecil, corak ini haruslah dielakkan kerana tidak mahu ruang berkenaan terlihat lebih kecil dan serabut.

FLORAL ATAU ORGANIK

Saiz corak floral atau organik boleh menyebabkan sesebuah ruang itu terlihat kecil atau besar, bergantung juga pada saiz ruang. Bagi ruang yang besar, corak floral atau organik itu haruslah bersaiz besar juga supaya kawasan tersebut tidak nampak terlalu luas. Jika ruang yang ada lebih kecil, suntikan corak kecil adalah lebih sesuai. Namun, anda perlu tahu jika ruang kecil menggunakan corak besar, ia akan terlihat lebih mewah dan tampak megah.

MOTIF

Corak motif adalah corak berulang secara rawak dan biasanya berdasarkan kepada bentuk abstrak. Corak motif sama yang digunakan di seluruh ruang boleh mewujudkan suasana harmoni dan lebih cantik. Ia akan menzahirkan aliran dan kesinambungan pada perabot serta seluruh kawasan itu.

CETAKAN HAIWAN

Cetakan haiwan pula bergantung pada trend dan populariti. Ia tidak hanya terhad kepada bulu atau kulit, malah fotografi haiwan atau cetakan haiwan pada fabrik juga dikategorikan sebagai cetakan haiwan. Warna juga mempengaruhi bagaimana anda melihat corak cetakan sebegini. Corak yang terang mewujudkan persekitaran yang bertenaga, sementara warna yang lembut membuahkan persekitaran yang lebih tenang.

Siti Hawa Ismail Pengasas & Pereka Hiasan Dalaman Laurea Home Furnishing

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.