Mila Jirin

Jutawan Dalam Diam

Jelita - - News -

Teks, Penyelaras & Penyelaras Gaya AYRA SULAIMAN Arahan Seni YANTIE BASHARUDIN Dibantu NURUL HUDA ALIAS Foto YONG KEEN KEONG Solekan LYANA DEE Penata Gaya Tudung FARAH DINANA Penulis Web & Juruvideo NUR SOFEA

SSeawal program realiti Akademi Fantasia rancak ditayangkan, rata-rata juara setiap musim dimonopoli peserta lelaki. Namun siapa sangka, wanita bertubuh genit dan bersuara manja ini berjaya meyakinkan juri dengan kebolehan suaranya sekali gus memecahkan rekod peserta wanita pertama menjuarai Akademi Fantasia musim ke-5. Ketika itu, tiada siapa mampu menilik masa depan yang bakal dilalui pemenangnya. Ada juga yang beranggapan kesemua peserta baik pemenang atau tidak, mereka akan berakhir menjadi sebahagian daripada keluarga selebriti tempatan. Namun, bagi penyanyi yang pernah mendendangkan lagu Aku Takkan Bersuara oleh Nike Ardilla, dia mempunyai jalan cerita kehidupannya tersendiri.

LINCAH URUS SYARIKAT

Jelita terpanggil untuk menemu bual Norsyarmilla Jirin atau mesra dengan sapaan Mila Jirin bagi berkongsi kisah dirinya yang dianggap kian sepi daripada dunia hiburan. Dia mengaku kurang memberi tumpuan dalam bidang nyanyian, sebaliknya bergiat rancak dalam bisnes katering yang dibangunkan sejak empat tahun lalu. “Kalau perkembangan industri seni, tidak banyak yang dapat saya kongsikan. Jika perkembangan dari sudut perniagaan, Alhamdulillah syarikat saya iaitu Bizmilla berkembang dengan baiknya dan baru-baru ini saya menubuhkan sebuah lagi syarikat di bawah nama yang sama berpusat di Hong Kong iaitu Bizmilla International Trading Co Ltd. Fokus syarikat ini adalah dalam perniagaan import dan eksport pelbagai jenis barangan keperluan dalam industri katering, perkahwinan dan perhotelan. Bizmilla Catering juga kini sudah membuka sebuah dewan baru di Kajang bagi memudahkan komuniti di sana mendapatkan servis katering kami,” ujarnya membuka bicara. Tidak berhenti setakat itu, ibu kepada anak lelaki berusia setahun, Mohd Arif Zikri, ini turut berkecimpung dalam bidang keusahawanan wanita bagi menyebarkan tip dan panduan berniaga. Ujarnya lagi, niatnya hanya untuk membantu golongan wanita yang mahukan perubahan dalam hidupnya tanpa perlu bergantung dengan sesiapa. “Ya benar, ketika ini saya sedang aktif bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk beberapa siri jelajah program pembangunan usahawan wanita (Wise) dengan menawarkan personalcoaching serta berkongsi tip perniagaan. Sambutan cukup menggalakkan meskipun baru saja dilancarkan. Pada saya, ilmu adalah pemberian Allah SWT yang tidak ternilai dan tidak boleh disimpan seorang diri. “Ianya perlu disebarkan seluas mana yang boleh. Saya akan rasa bangga dapat menyumbang idea dan nasihat kepada komuniti sendiri lebih lagi wanita yang berkobarkobar mahu menjalankan perniagaan. Tidak kiralah ianya secara kecil-kecilan atau sebesar pasar raya yang penting keikhlasan dengan diri sendiri dan pelanggan paling diutamakan,”ujarnya lagi.

SEPI BUKAN KERANA MERAJUK

Meskipun namanya semakin sayup dalam arena musik, ternyata anak jati Pulau Pinang ini masih mempunyai peminat setia yang sering mengikuti perkembangannya. Mila menyangkal dakwaan sesetengah individu yang mengatakan dia merajuk dalam industri hiburan sebaliknya, mempunyai jawapannya sendiri. “Tidak dinafikan, saya tidak aktif seperti dulu dalam bidang seni. Bukan merajuk tetapi lebih kepada memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan yang diusahakan bersama suami, Ailis Mustapha. Selain itu, fokus yang sangat tinggi diletakkan kepada Bizmilla Group Of Companies (Bizmilla Catering (M) Sdn Bhd, Bizmilla International Trading Co Ltd dan Restoran Embun Urai) pada masa sama, saya dan suami sangat aktif dan terlibat secara langsung dengan beberapa agensi untuk Program Pembangunan Usahawan di seluruh Malaysia,” tambahnya.

SELEBRITI DAN BISNES

Jika diamati rentak kehidupan selebriti, berniaga bukanlah perkara asing buat mereka. Senario ini jelas dilihat melalui kejayaan dalam perniagaan yang diraih oleh beberapa artis tersohor seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa dan ramai lagi. Walaupun ada yang menganggap selebriti hanya terikut-ikut dengan rentak gaya hidup masa kini (memulakan bisnes sebagai sampingan), wanita berusia 30 tahun ini mempunyai hujahnya sendiri. “Saya tidak nampak ia sebagai trend. Sejujurnya pada 2008, sewaktu saya baru mula terlibat dalam dunia keusahawanan, belum banyak selebriti yang menceburkan diri dalam bidang ini berbanding sekarang. Saya seronok melihat perkembangan sihat seperti ini di kalangan selebriti. Penghibur seperti kami boleh memilih untuk menggunakan populariti sedia ada untuk diaplikasikan dalam bidang perniagaan.” Tambahnya lagi, setiap individu yang memilih untuk berniaga mempunyai tujuannya sendiri dan ia adalah keputusan tepat untuk sesiapa yang mahukan perubahan hidup lebih baik. “Banyak aspek kenapa selebriti terlibat dalam perniagaan. Atas dasar minat, peluang yang terbentang luas dan ada juga untuk menambah pendapatan. Pada saya, apa juga sebabnya ia adalah keputusan yang bijak kerana 9/10 rezeki itu datangnya daripada perniagaan,” katanya.

LAKAR NAMA DALAM BIDANG BERBEZA

Meskipun ramai selebriti memilih untuk menjual sesuatu bersifat fizikal seperti tudung, pakaian muslimah dan kosmetik, Mila pula selesa mencipta namanya dengan jalan berbeza.

“Saya mula berniaga ketika berusia 19 tahun bila mana terlibat dalam perniagaan berasaskan makanan dan minuman sekitar 2010 apabila saya membuat keputusan untuk membeli sebuah perniagaan Restoran Embun Urai di Tasik Prima Puchong. Selepas menguruskan restoran itu selama hampir tiga tahun, saya dan suami mula mengorak langkah ke hadapan dengan memulakan perniagaan perkhidmatan katering dengan Bizmilla Catering secara kecil-kecilan,” kongsinya lagi. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Itulah pepatah yang tepat untuk menggambarkan perjalanan bisnes wanita gagah ini. Menanamkan sifat cekal dan sabar, kini Mila bukan saja menawarkan servis katering bahkan mempunyai beberapa dewan milik syarikatnya sendiri. “Alhamdulillah pada 2014, syarikat ini terus mengorak langkah ke indusitri perkahwinan dan katering dengan menawarkan pakej lengkap perkahwinan termasuk Dewan Bizmilla. Sehingga kini, kami sudah mempunyai lapan dewan perkahwinan sendiri di One City Subang, Metro Mall Cheras Kuala Lumpur dan Ostia Kajang,” katanya.

BERNIAGA TANPA SEBARANG PINJAMAN

Melakar kejayaan asli bukan sesuatu yang mudah. Mengekalkan momentum pula soal kedua. Setiap keputusan dan tindakan yang diambil mempunyai risikonya sendiri. Tidak ramai yang mempunyai keberanian menjadi si pembuat keputusan lebih lagi ianya adalah perihal bisnes yang cukup besar skopnya. Apa yang dikecapi Mila dan pasangan mungkin indah dimata peminat serta pelanggannya. Namun dugaan yang tersirat di dalamnya, tiada siapa yang tahu. “Pelbagai dugaan sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini. Yang manis sudah semestinya apabila dapat berkongsi rezeki dengan keluarga, para pekerja, komuniti setempat dan mereka yang memerlukan,” katanya lagi. Bagi usahawan ini, segala pahit maung ditelannya bersama suaminya. Tiada siapa tahu sewaktu memulakan perniagaan ini, dia dan suami tekad untuk tidak mengambil sebarang pinjaman kewangan dan itu bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya buat mereka apatah lagi untuk berada sehingga ke tahap ini. “Sewaktu di awal penglibatan saya dan suami dalam perniagaan, kesukaran yang paling berat ketika itu adalah modal. Saya dan suami berniaga tanpa menggunakan suntikan modal atau pinjaman perniagaan dari mana-mana agensi kewangan sebaliknya kami membuat perancangan dan menyimpan sedikit demi sedikit serta melaburkan semula simpanan untuk perkembangan bisnes kami. Ini bukan sesuatu yang senang bagi kami ketika itu. Untuk satu jangka masa yang lama, kami perlu fokus dan memberi keutamaan kepada perkembangan syarikat kami,” hebahnya.

NASIHAT MILA…

Melalui beberapa siri kejayaan Mila dalam bisnesnya, dia antara yang layak melontarkan idea dan nasihat buat selebriti atau orang muda yang baru menjinak-jinakkan diri dalam bidang ini. “Tip saya sama saja untuk selebriti mahupun anak muda yang ingin atau baru menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Saya sering tekankan faktor fokus kepada gol dan matlamat yang ingin anda kecapi. Selain itu, tunjuk ajar yang betul dan pengendalian perniagaan yang baik insyaAllah, hasilnya akan kelihatan. Dalam arena ini, kita perlu mencipta peluang dengan melihat apa yang dimahukan pasaran ketika ini. Bukan melakukan perniagaan yang mengikut trend terkini semata mata.” Dia juga membangkang sesetengah individu yang ghairah mengaut keuntungan semata-mata tanpa memeriksa keberkesanan produk yang dijual. “Tidak dinafikan, keuntungan adalah satu faktor yang penting. Tetapi pada saya keuntungan satu bentuk matematik. Di hujung hari, untuk kekal dalam kancah ini adalah aliran tunai yang padu. Oleh itu, kena sentiasa letak dalam minda, bukan keuntungan yang dikejar semata-mata tetapi servis dan produk berkualiti dengan harga berpatutan yang menjadi keutamaan. InsyaAllah sesebuah perniagaan itu pastu akan terbang tinggi,” nasihatnya lagi.

SUSUN WAKTU DENGAN BERHEMAH

Memikul peranan sebagai isteri, ibu dan peniagawati memerlukan

perancangan masa yang betul. Kebolehan Mila dalam menguruskan kesemua peranannya dalam satu masa antara antara faktor kenapa dirinya dipilih menjadi penghias bingkai hadapan Jelita. “Menjadi seorang ibu yang bekerjaya dan menguruskan beberapa perniagaan sudah semestinya memerlukan perancangan masa yang betul dan fleksibel. Saya bersyukur rakan perniagaan adalah suami sendiri. Dia bukan saja seorang yang memahami bahkan dia sering memberi galakan dan sokongan moral. Saya juga mempunyai pejabat mini di rumah untuk menguruskan tuntutan kerja dari rumah. Saya akan ke pejabat sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk memantau pekerja saya,” terangnya.

BAGAIKAN BERMIMPI DI SIANG HARI

Jika diimbas kembali detik manis tercipta sewaktu dirinya bergelar pemenang AF, Mila tidak pernah sangka dirinya bakal bergelar juara kerana menganggap kesemuanya pesaingnya mempunyai bakat yang jauh lebih berbisa. “Wah, menggamit kenangan lalu! Lebih sedekad lamanya, sudah 11 tahun ia berlalu. Apa yang saya dapat katakan, tidak pernah saya menduga pada waktu itu akan menggenggam gelaran sebagai juara di program yang besar pada waktu itu. Masih segar dalam fikiran saya bila mana nama saya dilaungkan sebagai juara, perasaan ketika itu bagaikan sedang bermimpi. Syukur buat Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk merasai dan menjadikan ia sebagai batu loncatan dalam kerjaya saya. Tidak nafikan, AF adalah satu platform yang terbaik Allah SWT berikan buat saya kerana banyak perubahan yang telah berlaku secara drastik dalam kehidupan selepas tamat pertandingan itu. Hampir sebulan juga saya cuba sesuaikan dengan suasana baru sebagai selebriti dan kehidupan di kota raya,” terangnya panjang lebar.

DEMAM DAN SUARA PERNAH HILANG

Masih segar diingatan bila mana kesemua juri dan penonton bagaikan dipukau dek kelunakan suara Mila yang membawa sebuah lagu vokal tinggi berjudul AkuTakkanBersuara nyanyian asal Nike Ardilla sekali gus memecah kesunyian Stadium Putra Bukit Jalil ketika itu. Bicaranya, ketika itu dirinya agak tertekan lebih lagi ianya adalah tugasan ala bidan terjun. “Saya tidak dapat ingat 100 peratus perasaan dan persiapan untuk lagu tersebut ketika itu. Tetapi jika ditanya kesukaran sepanjang konsert AF adalah pada minggu terakhir. Saya masih ingat betapa tertekan saat mendapat tugasan tersebut kerana banyak susunan saat akhir yang berlaku dan saya juga mengalami demam secara tiba-tiba mungkin kerana tertekan dan kurang rehat untuk konsert pusingan akhir.” Bicaranya lagi, ada ketika dirasakan semua serba tidak kena. Dengan keadaan tubuh badan yang lemah dek tidak cukup rehat dan perlu berlatih tanpa henti sehinggakan pernah suaranya tiba-tiba hilang. “Pada waktu latihan akhir saya menangis kerana tibatiba suara saya hilang. Nasib baik dengan teknik panaskan badan yang betul dan rehat yang cukup pada malam konsert saya dapat atasi masalah tersebut. Pernah saya rasakan mahu berputus asa namun memikirkan sudah jauh langkah sehingga ke tahap ini, saya gigihkan juga. Sudah tentu ia menjadi kenangan yang tidak mungkin saya lupakan.”

Persalinan, Innaired. Tudung, Ariani Luxe. Cincin, Dior & gelang, Hermes, kedua-duanya daripada My Portluxe.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.