Dari Spa

Normalkah Rambut Gugur Selepas Bersalin?

Jelita - - News -

Mengikut pengalaman wanita yang bergelar ibu, begitu juga dengan penulis, ia adalah fasa yang tidak dapat dielakkan. Walaupun tiada kajian saintifik yang mengesahkan apakah puncanya, namun bila difikirkan secara logik terdapat beberapa punca yang boleh mengaitkan kenapa rambut gugur selepas wanita melahirkan bayi.

PERUBAHAN HORMON

Faktor perubahan hormon yang mendadak berikutan progesteron dan estrogen sewaktu hamil adalah sangat tinggi. Hormon ini menyebabkan pertumbuhan rambut terhenti dalam fasa anagen atau lebih dikenali sebagai fasa pertumbuhan. Sebab itu, wanita hamil kelihatan lebih berseri-seri dan nampak cantik. Tetapi, kira-kira dua atau tiga bulan selepas bersalin, kesemua hormon akan kembali kepada normal, para ibu akan mengalami semula masalah keguguran rambut. Disebabkan sepanjang tempoh kehamilan tidak banyak rambut gugur, kali ini keguguran rambut berlaku dengan lebih banyak dan tampak mendadak. Selain itu, corak pemakanan yang tidak sihat ataupun kekurangan nutrisi juga boleh menjadi punca keguguran rambut. Ini kerana, di dalam tempoh berpantang, kebanyakan ibu mengawal pemakanan agar dapat mengembalikan bentuk badan yang langsing. Dalam tidak sedar, ramai yang terlupa akan jumlah nutrisi yang sepatutnya diambil. Faktor kesibukan dan tekanan juga mungkin menjadi penyebab keguguran rambut. Selepas bersalin, wanita bergelar ibu sibuk menguruskan keperluan keluarga dan bayi yang baru lahir. Lebih lagi, jika ibu juga harus mula bekerja selepas cuti berpantang yang lama. Menghadapi pelbagai tekanan dalam mengendalikan kesemua tugasan ini membuatkan ibu tidak mempunyai masa menjaga kesihatan dan kebersihan rambutnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.