Jurnal Pereka

PU3; Tiga Beranak Kuasai Bidang Fesyen

Jelita - - News -

ASAL USUL NAMA PU3 DAN LATAR BELAKANGNYA?

Sebenarnya PU3 ditubuhkan ibu pada 2004 dengan harapan untuk memulakan bisnes secara kecil- kecilan. Ketika itu, ayah, Tan Sri Ramli Ngah Talib memilih nama PU3 memandangkan dia mempunyai tiga puteri dalam hidupnya iaitu ibu (Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah), saya (Putri Azalea Ashram Ramli) dan pasangan kembar saya iaitu (Putri Yasmin Ashram Ramli). Pada masa sama, ia juga mewakili nama kami iaitu Putri. Pada awal 2006, kami membuat keputusan untuk ke London bagi mengikuti pengajian singkat dalam bidang fesyen. Selepas tamat, kami pulang ke Malaysia dan memulakan label fesyen ini. Tanggal 15 Disember 2006 menjadi tarikh keramat buat kami apabila stor PU3 dilancarkan di The Curve, Damansara. Pada permulaan perniagaan ini, Yasmin berperanan mereka bentuk pakaian berkonsepkan funky dan warna asal yang diketengahkan pula adalah hitam dan merah jambu terang. Manakala, saya dan ibu melakukan kerja tukangan untuk aksesori. Saya mengambil tugas untuk barangan perhiasan unik manakala ibu pula membuat aksesori yang lebih elegan. Tahun demi tahun, rekaan PU3 lebih matang dan sofistikated. Kami juga mula memfokuskan rekaan empat cabang iaitu PU3 Pret A Porter yang mengetengahkan pakaian ready to wear, PU3 Couture untuk tempahan khas dan PU3 Heritage menghasilkan busana tradisional dan moden.

APA YANG MEMBUATKAN ANDA INGIN MENGELUARKAN PRODUK PAKAIAN WANITA?

Semua ini bermula kerana ibu saya juga berkongsi minat yang sama dalam bidang fesyen. Sejak kecil kami sering melihat ibu sentiasa bergaya membuatkan dirinya menjadi idola kami. Dia juga mahir mereka bentuk aksesori seperti kasut, sekali gus meyakinkan kami untuk melakukan perniagaan ini bersama. Oleh itu, menjadi sebahagian daripada tugas kami menambah seri penggayaan wanita di samping tampak yakin dengan apa yang disarungkan pada tubuh mereka. SELAIN SOKONGAN KELUARGA, APA YANG MEMBUATKAN ANDA

TEKAD UNTUK MEMBANGUNKAN PU3?

Semangat kami berkobar-kobar kerana kagum dengan budaya fesyen di London sewaktu kami masih menuntut di sana. Saya gemar melihat cara mereka menyarungkan apa juga pakaian dengan penuh yakin mengikut kemahuan gaya tersendiri. Tidak perlu nasihat atau bantuan daripada sesiapa. Kami juga suka melihat individu yang nampak berfesyen namun dalam pada masa sama, tidak nampak terlalu mencuba. Inilah yang mendorong kami untuk membangunkan rumah fesyen kami sendiri.

APAKAH FOKUS PU3 SEPANJANG 2018?

Pada tahun ini, kami menumpukan perhatian lebih kepada koleksi ready to wear dan membanting tulang menggandakan kuantiti helaian kami pada awal tahun agar memudahkan pelanggan untuk mendapatkan koleksi kami di stor berhampiran mereka. Kami percaya dengan cara ini, ia bukan saja menambah akses buat pelanggan bahkan nama PU3 juga boleh menjadi antara label fesyen yang mudah didapati.

APAKAH FABRIK ATAU BAHAN TERTENTU YANG SERING MENJADI KEGEMARAN PU3?

Fabrik pilihan kami adalah sutera organza dan sifon sutera. Kini, saya gemar menggunakan kapas dan material yang boleh dicetak diatasnya. PU3 juga sentiasa menggunakan fabrik berkualiti untuk memastikan ianya nampak gah apabila dipakai. Tidak kira apa juga saiz yang dipakai, fabrik memainkan penting dalam proses reka bentuk. Oleh itu, kami sangat teliti dan cerewet apabila ianya melibatkan kain yang ingin digunakan.

CERITAKAN PENGALAMAN MANIS PU3 SEPANJANG BERADA DALAM GELANGGANG FESYEN?

Pada 2013, saya banyak mengembara ke luar negara tapi memori yang tidak boleh dilupakan apabila PU3 membuat peragaan fesyennya di Minggu Fesyen Los Angeles dan menyertai ekspo di Paris Persembahan fesyen PU3 memukau penonton yang hadir. Who’S Next sebanyak dua kali. Kami juga mempunyai stokis di Paris! Ia adalah pengalaman paling manis yang tidak boleh dilupakan.

APAKAH PENCAPAIAN PALING DIBANGGAKAN SETAKAT INI?

Antara pencapaian paling dibanggakan adalah di mana kami dianugerahkan pemenang 2013 MBA Industry Excellence Award di bawah kategori sektor industri fesyen dalam inisiatif untuk menaiktarafkan pasaran fesyen sebagai peluang pekerjaan yang kukuh di bawah entiti PU3.

PENGALAMAN PAHIT SEHINGGA MEMBUATKAN ANDA BANGKIT MEMBAKAR SEMANGAT?

Menjalankan perniagaan tidak semuanya indah. Ada ketika, kami mempunyai pendapat yang berbeza. Ada ketika di mana koleksi rekaan saya tidak mendapat kepercayaan penuh tapi saya memilih untuk positif dan bekerja keras berbanding sebelumnya. Sebenarnya itu adalah a good wake up call untuk saya. Hasilnya selepas itu cukup memuaskan hati. Satu daripada prinsip yang saya pegang hingga ke hari ini adalah sentiasa yakin dan percaya dengan kebolehan diri sendiri dan jangan biarkan aura negatif memonopoli fikiran.

CERITAKAN SERBA SEDIKIT MENGENAI KERENAH PELANGGAN DAN CARA MEMASTIKAN KESERASIAN HUBUNGAN DENGAN MEREKA?

Untuk beberapa tahun ini, saya lebih memfokuskan helaian tempahan dan PU3 Bridal. Cita rasa pelanggan kami berbeza-beza namun ada kala memiliki tujuan sama. Kebiasaannya mereka sudah tahu apa yang diinginkan. Tugas kami adalah merealisasikannya dengan sentuhan PU3 sendiri. Saya akan cuba untuk memahami personaliti pelanggan dan berbincang dari semasa ke semasa tentang idea kami. Tidak kira inputnya datang dari mereka atau dari kami sendiri, ianya satu proses normal antara PU3 dan pelanggan asalkan apabila hasilnnya dipersembahkan, mereka akan berpuas hati dan selesa menggayakannya.

“Satu daripada prinsip yang saya pegang hingga ke hari ini adalah sentiasa yakin dan percaya dengan kebolehan diri sendiri dan jangan biarkan aura negatif memonopoli fikiran.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.