Fokus Jelita

Kecapi Kepuasan Jodoh Kedua

Jelita - - News - *Bukan Nama Sebenar

Rasa serik mungkin jadi punca utama ramai wanita lebih rela bersendirian akibat kegagalan perkahwinan pertama, membuat hati sukar untuk menerima kehadiran lelaki baru dalam hidup apatah lagi jika ia juga membabitkan anak. Namun begitu, kalau sudah tersurat akan pertemuan yang mampu membuka hati pada cinta semula, berilah ianya peluang. Manalah tahu ini adalah rezeki yang Allah tetapkan buat anda untuk memiliki pasangan hidup hingga ke akhir hayat. *Fatin Huzaini, 36, tidak kisah jika masyarakat memandang serong kepadanya kerana berkahwin untuk kali kedua.

Baginya bukan dia mahu semua itu berlaku kerana sudah tertulis jodohnya tidak berpanjangan dengan suami pertama. Bukan dia tidak mahu atau tidak mencuba mempertahankan perkahwinannya namun sikap bekas suami yang pantang melihat dahi licin wanita menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bercerai. MEDIA SOSIAL PUNCA UTAMA

“Jujur saya katakan media sosial memang memberi kesan besar dalam perkahwinan pertama saya. Kami berdua juga berkenalan melalui media sosial walaupun belajar di universiti yang sama. Membina perkenalan atas nama persahabatan selama dua tahun, kami akhirnya ke jinjang pelamin. Bila diingatkan kembali, sebelum ikatan sah dibina, si dia pernah berlaku curang di belakang saya. Tetapi atas dasar kasih, saya memaafkannya apatah lagi dia beria berjanji untuk berubah dan tidak mengulangi kesilapan. “Semasa majlis perkahwinan kami berlangsung, ramai rakan dan sahabat yang hadir dari zaman sekolah sehingga ke universiti. Saya memang mengenali kebanyakan rakannya di universiti tetapi tidak rakan sekolahnya. Semasa sesi bergambar bersama rakan sekolahnya, saya melihat suami melirik mata ke arah seorang wanita. Sempat saya tanya, siapakah dia. Jawapannya ringkas, itu rakan sekelas,” kata Fatin. Menolak ke tepi kata hati yang terdetik sesuatu itu, manakan disangka wanita yang sama bakal mengubah suratan takdirnya sehingga 360 darjah. Baru membina mahligai bahagia, Fatin seperti pengantin baru yang lain, melayari bahtera hidup berdua dengan suaminya terasa amat mengasyikkan. Hinggalah dia disahkan hamil selepas empat bulan bergelar isteri. “Sudah tentu suami sangat gembira dengan perkhabaran itu. Dalam pada itu dia makin asyik pula bermain telefon pintarnya, tumpuannya ke situ pula. Hati sudah terdetik macammacam, tetapi saya tolak kerana berasa itu hanya bisikan syaitan untuk mengapi-apikan keadaan.” Tetapi, apabila sikap suami makin tidak masuk akal, takkanlah hingga ke bilik air perlu membawa telefon pintarnya itu? Hah sudah, pasti ada tembelang yang dia sedang cuba sembunyikan secara erat. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga jatuhnya. Usai sesi berpantang anak sulung mereka, hubungan cinta suaminya ketika itu dengan wanita yang dilihat pada majlis perkahwinan mereka itu sah terjalin.

BERHUBUNG SELEPAS LIMA BULAN BERKAHWIN

“Saya langsung tidak mengesyaki mengenai hubungan mereka berdua. Mereka telah menjalin hubungan cinta selepas lima bulan usia perkahwinan saya dan bekas suami. Selama saya berpantang di rumah ibu bapa di Johor, mereka kerap keluar berdua malah tidak malu pergi bercuti bersama rakan lain. Saya kesal dengan perangai rakan yang tahu kami sudah berumah tangga tetapi tidak pula menegur kecurangan suami terutama di saat saya kalut di kampung menjaga anak. “Hubungan cinta mereka terbongkar apabila seorang daripada rakan baik saya sendiri ternampak mereka sedang berpelukan di sebuah pusat peranginan di Pahang. Rakan ingin menegur suami namun tidak melakukannya kerana terkejut melihat wanita di sebelahnya bukan saya. Dia baru sedar bahawa saya sedang berpantang ketika itu. Rakan yang bimbang mengenai keadaan saya yang masih menempuhi pantang bertindak mendiamkan diri sebelum berjumpa tiga minggu kemudian ketika sudah habis berpantang untuk menceritakan perkara ini.” Menurut Fatin, dia bertindak untuk memerangkap bekas suaminya dengan memberitahu bahawa dia tidak dapat pulang ke rumah mereka pada hari berkenaan kerana anak mereka demam. Dia dan rakannya mengikuti suaminya daripada pejabat lelaki itu sehingga ke sebuah pusat beli belah. Seperti dijangkakan, dia pergi berjumpa orang ketiga itu. Fatin masih mampu mengawal diri bila berdepan dengan mereka kerana baginya, tiada guna membiarkan emosi mengawal diri lagipun kebenaran sudah terpampang di depan mata biarpun hatinya kusut dan perit menelan hakikat berkenaan. “Sudahnya, mereka mengaku saling mencintai dan di saat itu juga saya minta suami segera melepaskan saya dengan talak.”

BERKENALAN DENGAN SUAMI KEDUA

Sewaktu proses perceraian sedang berlaku, langsung dia tidak menyangka yang Allah mempunyai perancangan lebih baik buatnya. Sedikit pun dia tidak menyangka yang peguam yang menguruskan penceraiannya bakal menjadi ketua keluarga dirinya yang baru. Perkenalannya dengan *Faris adalah menerusi rakan mereka. Sepanjang urusan penceraian dia banyak membantu namun ketika itu Fatin masih tidak mempunyai sebarang perasaan kerana masih terluka dengan perbuatan bekas suaminya itu. “Saya mengambil masa dua tahun untuk memulihkan semangat dan sepanjang itu Faris menunggu dengan sabar dan tidak memaksa. Bukan tidak memikirkan tentang anak yang tidak pernah merasai kasih sayang bapa, saya bimbang akan hubungan kami tidak setaraf. Faris berstatus bujang manakala saya pula seorang janda anak satu. Saya tidak mahu keluarganya menganggap saya mengambil kesempatan meminta simpati Faris. “Alhamdulillah, ibu bapa Faris menerima status saya seadanya dan menjaga anak saya seperti cucunya sendiri. Mereka gembira kerana akhirnya Faris membuka hatinya untuk berkahwin selepas lima tahun kerana dia pernah ditinggalkan tunangnya demi lelaki lain. Sekarang sudah tiga tahun usia perkahwinan kami dan mempunyai seorang lagi anak. Kasih sayang antara kedua anak dibahagi sama rata dan tidak pernah membezakan mereka. Saya juga tidak pernah menghalang bekas suami untuk datang menjenguk anak,” tambah Fatin lagi. Kata Fatin, bekas suaminya kini menjadi duda buat kali kedua apabila perkahwinannya dengan wanita yang dicurangi bersama tidak kekal lama dan dia menyatakan kekesalan kerana gagal menjadi suami dan bapa yang baik. Dia berharap agar lelaki di luar sana sentiasa menjaga perasaan isteri dan tidak mensia-siakan perkahwinan yang dibina. Fatin juga mahu perkahwinannya kali ini berkekalan sehingga ke akhir hayatnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.