Santapan Jiwa

Keghairahan Siber Undang Kesan Negatif

Jelita - - News -

Berada di zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan memudahkan manusia untuk berhubung dan mengakses pelbagai sumber yang diingini. Segalanya berada di hujung jari dengan teknologi ciptaan manusia yang memberi kemudahan kepada manusia kini. Tidak dinafikan teknologi yang dicipta ini memberi banyak kebaikan kepada bidang perubatan dan pelbagai lagi, namun ia juga mempunyai keburukan jika disalah guna yang kemudiannya memberi kesan kepada generasi kini. Sebagai contoh penggunaan aplikasi Facebook, WhatsApp, Instagram dan WeChat seakan menjadi ketagihan luar biasa kepada golongan muda dan tua. Inilah yang dinamakan keghairahan siber kerana pengguna seakan tidak dapat mengawal diri. Semua perkara perlu dikemas kini dalam media sosial hanya semata-mata untuk bercerita kepada pengikut laman sosial.

KESAN NEGATIF PADA KELUARGA

Umumnya teknologi mempunyai kebaikan dan keburukannya sendiri. Kebaikannya ialah membantu manusia untuk mendapatkan sumber maklumat, menghubungkan ukhuwah walaupun berada di tempat yang jauh dan banyak membantu urusan individu dalam kehidupan seharian. Namun ada pula yang menggunakannya sehingga berlaku pengabaian tanggungjawab terhadap keluarga, kerja, hilangnya semangat kemasyarakatan dan kejiranan serta mendorong kepada hubungan yang terlarang. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:

”Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan perelokkanlah perlakuan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Berdasarkan firman Allah SWT, janganlah manusia sengaja mencampakkan diri mereka dalam kebinasaan. Jadi adalah penting sebagai seorang hamba yang taat perlu memastikan diri tidak tergolong atau menjadi mangsa kepada kesan negatif alam siber. Perkara negatif seperti ini amat mudah untuk menyerang institusi keluarga dan masyarakat. Disebabkan penyalahgunaan media sosial ini terdapat peningkatan dalam kes penceraian di Malaysia. Kecurangan dalam talian adalah antara paling banyak berlaku kerana kemudahan internet menjadikan manusia bebas menggunakan apa sahaja bentuk aplikasi sosial yang sudah tersedia dan hanya perlu dimuat turun. Perkenalan tanpa batas dan sempadan dalam ruang maya seperti mengizinkan kecurangan untuk menjadi punca keretakan bagi banyak rumah tangga.

GHAIRAH BERSAMA GAJET

Keghairahan terhadap alam siber juga boleh menyelinap dalam institusi pekerjaan. Seperti contoh, segelintir pekerja sibuk bermain dengan gajet ketika sedang bermesyuarat atau menghadiri seminar. Budaya negatif ini memberi impak dan menunjukkan bahawa seseorang itu menjadi pekerja yang tidak beretika dalam melakukan pekerjaannya. Bukan itu sahaja, akibat terlalu asyik dengan gajet dan alam siber, ia menjadikan individu berkenaan hilang nilai komunikasi sesama ahli keluarga, ibu bapa dan jiran tetangga. Sekali gus memberi kesan buruk dan kehilangan nilai persaudaraan dalam masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah AnNisa’ ayat 36:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat,

dan anak-anak yatim, dan orangorang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggabanggakan diri.”

Ini adalah hakikat yang perlu diterima di mana manusia hari ini termasuk umat Islam sendiri lebih banyak menghabiskan masa bersama gajet daripada membaca al-Quran atau menambah ilmu membaca buku ilmiah. Walaupun terdapat beberapa aplikasi al-Quran dan hadis yang direka untuk memudahkan untuk membaca selari dengan arus permodenan, namun mereka tetap tidak membacanya. Sekadar untuk dijadikan koleksi dalam telefon pintar sahaja. Sudah terang lagi bersuluh mengenai kelebihan yang diperolehi jika membaca al-Quran. Imam Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah ibn Mas’ud R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah SWT maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (Alif,Lam,Mim) sebagai satu huruf tetapi (Alif) adalah satu huruf, (Lam) adalah satu huruf dan (Mim) adalah satu huruf.”

Jadi mari bersama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan dan titahNya serta menjauhi segala larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan dengan adanya keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

*Sumber : Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.