Titik Hitam

Suami Bermain Cinta Dengan Kaum Sejenis

Jelita - - News -

Berkahwin dengan pilihan keluarga bukanlah menjadi impian terunggul sesiapa saja, namun jika itulah ketentuannya, ada yang sanggup menerima dan menempuhinya demi menjaga hati keluarga terbabit. Bukan hendak kata semua perkahwinan pilihan keluarga akan berakhir dengan titik hitam yang mencalar keyakinan diri, namun kisah perit ini adalah perjalanan hidup *Insyirah Harun, 35, yang kini selesa hidup sendiri tanpa kehadiran manamana lelaki.

KELUARGA MENDESAK

Segalanya bermula ketika ibu bapa menyuarakan hasrat untuk melihatnya berkahwin kerana hanya dia yang tinggal belum mendirikan rumahtangga berbanding adik beradiknya. Insyirah sudah lima tahun bekerja sebagai eksekutif pemasaran di syarikat swasta di ibu negara. Bukannya tidak mahu menamatkan zaman bujang, tetapi dia belum bertemu dengan jejaka yang mampu mencuri cintanya walaupun telah didekati beberapa kali. “Disebabkan saya lebih banyak mendiamkan diri tentang hal ini, ibu bapa mula mendesak kerana risau saya digelar andartu (anak dara tua) kerana umur pada ketika itu sudah menginjak ke 30-an. Ditambah pula dengan mulut ‘bawang’ saudara mara yang kerap bertanya, sampai saya tidak sanggup lagi ke manamana kenduri atau perjumpaan keluarga, tidak tahan dengan bingit desakan mereka. “Kira-kira lima tahun lalu, ibu memberitahu mahu memperkenalkan saya dengan anak lelaki kepada rakan baiknya ketika di universiti. Seperti biasa, saya cuba mengelak tetapi melihat ibu mencebik seakan saya ini anak derhaka, saya iyakan saja aturan untuk berkenalan. Hari yang ditunggu tiba dan saya bertemu dengan jejaka itu di restoran,” kata Insyirah.

AWAL PERKENALAN

Menurut Insyirah, juga ada di pertemuan itu adalah *Jamilah, ibu kepada lelaki yang dimaksudkan, *Nabil Farhan. Nabil bekerja sebagai juruterbang di syarikat swasta dan sedang menghabiskan cuti bersama keluarga. Dia bertubuh tinggi lampai dan mempunyai perwatakan yang menarik membuatkan Insyirah teruja untuk mengenalinya. “Ibu menempah meja berasingan untuk kami bagi mengenali diri masingmasing. Senang berbicara dengan dia dan Nabil buat saya rasa selesa seperti sudah lama mengenalinya. Nabil memberitahu bahawa dia tahu ibunya cuba menjodohkan saya dengannya. Dia hanya mengikut sahaja kehendak ibunya dan tidak mahu menolak kerana Nabil anak lelaki tunggal dalam keluarga. Kakaknya pula semua sudah mendirikan rumah tangga. “Saya bertanya padanya, adakah dia tidak mempunyai teman rapat lain. Dia hanya menidakkan dan memberitahu sibuk bekerja sehingga tidak sempat untuk mencari jodoh. Pada mulanya saya kurang mempercayainya kerana hampir setiap hari juruterbang berdampingan dengan wanita cantik tidak mungkin tiada yang berkenan di hati. Namun, dia hanya tertawa, membuatkan saya rasa lebih selesa. Kami bertukar nombor telefon dan berjanji untuk berjumpa selepas dia pulang dari Belanda,” tambah Insyirah.

PERKENALAN KE PERKAHWINAN

Selepas pulang dari perantauan, Nabil kerap kali menghubungi Insyirah dan mengajaknya untuk keluar. Ibu Insyirah yang teruja mendengar mengenai perkara itu berharap bahawa Nabil adalah jodohnya. Dia juga memberitahu bahawa Nabil ada bertanya khabar melalui Whatsapp dan menghantar gambarnya ketika di Amsterdam. Mereka sentiasa berbalas mesej dan meniti waktu, Insyirah mula merasa mereka rapat. “Setelah hampir tiga bulan berkenalan, Nabil menyuarakan hasrat untuk mengahwini saya. Mungkin bagi sesetengah orang tempoh perkenalan kami berdua terlalu singkat tetapi saya serahkan segalanya kepada Tuhan. Saya bersetuju dan menganggap mungkin akan ada kemanisan bercinta selepas berkahwin. Kedua-dua ibu kami antara yang paling gembira mendengar keputusan Nabil untuk mengahwini saya. “Segala persiapan perkahwinan, saya dan Nabil serahkan bulat-bulat kepada orang tua. Kami cuma perlu berjumpa dengan tukang jahit untuk mengukur baju sahaja. Sepanjang saya mengenalinya, Nabil mempunyai ciri suami yang misali diimpikan semua wanita cuma dia tidak suka jika seseorang cuba untuk membuka telefon pintarnya. Jadi saya hormati privasinya,” ujar Insyirah lagi. Tambah Insyirah, seminggu selepas majlis perkahwinan, mereka tidak sempat untuk berbulan madu kerana Nabil terpaksa kembali bekerja. Insyirah memujuk hati kerana tahu suaminya komited kerja dan mereka ada sepanjang hayat untuk menikmati manisnya bulan madu nanti. Masa berlalu, ada saja alasan Nabil untuk tidak bersama dengan isterinya itu. Pada fikirannya, mungkin Nabil terlalu penat kerana majlis perkahwinan mereka. Jadi dia terpaksa berjauhan dengan suami selama seminggu kerana waktu kerja yang tidak menentu.

TOLAK HUBUNGAN INTIM

“Setelah hampir empat bulan usia perkahwinan, kami masih belum pernah melakukan hubungan intim. Setiap kali saya mencuba, alasannya cuma penat dan mengantuk. Dia hanya memeluk saya ketika tidur. Pada mulanya saya tidak mengesyaki langsung mengenai perangainya. Waktu kerja yang berlainan juga membuatkan saya jarang berjumpa dengannya. Dia hanya pulang lewat malam dan saya pula telah tidur dan keesokan harinya kami berdua keluar bekerja bersama. Kadang-kadang jika dia berada di rumah, saya pula terpaksa bekerja ke luar negeri. “Saya pernah cuba membangkitkan mengenai perkara ini. Nabil pula sering mengubah topik atau cuba mengambil hati saya dengan membeli buah tangan dari luar negara. Ia akan membuatkan saya kembali berlembut hati. Sehinggalah suatu hari, saya terpaksa bekerja luar selama seminggu dan perlu meninggalkannya. “Tidak sangka pula saya dapat pulang awal dari dijangkakan, saya cukup teruja kerana kebetulan hujung minggu itu adalah hari jadi Nabil. Saya mahu buat kejutan buatnya,” kata Insyirah lagi. Insyirah yang pulang ke rumah dengan niat untuk menambah kemanisan pada hari istimewa suaminya, terlihat sebuah kereta asing di depan rumahnya. Pada mulanya, dia menganggap mungkin ada jiran yang menumpang meletak kereta. Jadi dia terus masuk ke rumah dan mencari suaminya. Buka sahaja pintu bilik tidur, alangkah terkejutnya dia melihat suaminya sedang tidur berpelukan dengan seorang lelaki yang dikenali iaitu rakan baik suami yang sering berkunjung ke rumah selepas mereka berkahwin. “Berjujuran air mata melihat kelakuan jijik suami, saya lari keluar dan terus ke rumah ibu bapa yang kebetulan berdekatan. Saya ceritakan semuanya pada ibu dan bapa mengenai Nabil dan kini faham dan jelas akan niat dia berkahwin dengan saya. Saya menjadi mangsa perkahwinan berakar palsu kerana ingin menutup nafsu songsangnya. Hati saya hancur ketika itu,” katanya.

ISTERI LIMA BULAN

Setelah kejadian itu, Nabil ada datang berjumpa dengan Insyirah memohon maaf kerana menjadikannya isteri walhal dia langsung tidak mempunyai perasaan terhadapnya. Ibu dan bapa mentuanya juga datang meminta maaf biarpun dia tahu mereka langsung tidak tahu akan tabiat terkutuk anak mereka turut kecewa dengan Nabil yang mementingkan diri sendiri. “Saya kemudian menyuruh Nabil menceraikan saya dan memberitahu kepada mahkamah bahawa kami sudah tidak sehaluan. Saya tidak mahu memalukan keluarga mentua kerana mereka menjaga saya dengan baik. Walaupun telah bercerai dengannya hampir lima tahun, saya masih menjaga hubungan bersama bekas keluarga mentua. Menurut bekas ibu mentua, Nabil yang malu dengan keluarganya telah membawa diri ke luar negara untuk berubah selepas menceraikan saya,” tambahnya lagi. Sehingga kini Insyirah tidak pernah berjumpa dengan Nabil walaupun dia masih mempunyai rasa sayang kepada bekas suaminya. Dia tetap berdoa dan berharap agar Nabil kembali berubah ke jalan yang benar dan bertaubat nasuha.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.