Didikan keluarga sejak kecil membentuk anda menjadi individu berperibadi mulia dengan jati diri terpuji, namun jika masih ada sifat menjengkelkan dalam diri anda, ia bukan salah ibu mengandung lagi. Sebaliknya anda perlu perbaiki mutu diri. Hargai Usaha O

Adab & Etika Hargai Usaha Orang Lain

Jelita - - News -

Bercakap mengenai perbaiki mutu diri, adab dan etika adalah antara elemen yang boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk memperbaiki dan menilai diri sama ada anda memiliki ciri terpuji yang sepatutnya ada pada manusia atau sebaliknya. Daripada sekecil-kecil perbuatan seperti menjawab pertanyaan dengan sopan hinggalah mempamerkan tingkah laku beradab ketika berhadapan orang ramai, semua ini menjadi pantulan peribadi anda. Mungkin anda pernah mengalami situasi tertanya-tanya kenapa mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada rakan tidak berbalas meskipun anda tahu dia sudah membaca mesej berkenaan. Lazim sebagai individu, anda akan segera membalas dan tidak membiarkan orang yang menghantar mesej berkenaan tertunggu-tunggu akan maklum balas daripada anda. Bayangkan jika anda adalah ibu bapa, menghantar mesej bertanya khabar kepada anak yang berada di luar atas urusan kerja, namun sehingga esok hari, mesej berkenaan tidak berbalas. Pastinya hati merusuh kerisauan kenapa tiada balasan, adakah si anak dalam kesusahan atau sebaliknya. Bayangkan lagi jika anda melayangkan pertanyaan kepada sahabat baik, bertanya mengenai keadaan dirinya, akan tetapi tiada jawapan diberikan. Tentunya naluri berasa tidak enak memikirkan tindakan rakan ini. Begitu juga bila ketua di pejabat (atau anda sebagai kakitangan) menghantar pesanan ringkas bertanya sesuatu dan anda membiarkan pertanyaan berkenaan tidak berbalas. Sedikit sebanyak akan terdetik pertanyaan di dalam minda kenapa tiada jawapan, tidak dihargaikah pertanyaan itu? Sebetulnya dalam situasi begini, bukan jawapan ‘betul atau salah,’ atau ‘ya atau tidak’ yang dinanti sebaliknya sikap ambil endah terhadap mereka yang menghantar pertanyaan atau balasan itu yang dinanti sebenarnya. Ibu pasti gembira bila anak memberi jawapan walaupun ringkas, sahih si ketua atau kakitangan akan berasa senang hati bila pertanyaannya ada maklum balas dan sahabat akan berasa riang jika anda menunjukkan sikap endah terhadap usaha ambil beratnya kepada anda. Ini semua termasuk dalam kategori adab dan tertib yang perlu ada pada individu, yang mana ia akan meningkatkan kualiti jati diri sebagai insan bertanggungjawab dan terpuji. Mungkin tindakan membalas atau menjawab mesej itu mudah dan ringkas sahaja serta usaha yang sangat kecil, tapi sama ada disedari atau tidak, ia mendatangkan kelegaan kepada individu di pihak yang menghantar mesej berkenaan kepada anda. Sama juga dengan perkataan ‘terima kasih’ yang wajar dijadikan tabiat dalam apa jua situasi. Meskipun anda berurusan dengan penjaga pintu atau lif, ucapkan terima kasih atas usahanya menekan butang untuk anda. Besar pahalanya membuatkan individu lain berasa dihargai. Sesekali menjadi pemberi dalam senario semudah ini, hakikatnya anda akan terus diingati kerana budi bahasa dan pekerti yang murni ini. Jadi, pilihlah mana yang diinginkan dalam hidup, menjadi individu yang sentiasa dirahmati meskipun dengan sedikit tindakan ringkas atau anda akan dicop sebagai individu yang tidak disenangi lantaran tindakan kecil seperti tidak membalas senyum walau di hujung bibir. Fikirkan!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.