SAJIAN Memasak Mudahkan Tugasan

Panduan padat untuk memudahkan tugasan harian anda di dapur.

Jelita - - Contents -

Sibuk dengan kerja bukan lagi alasan untuk anda tidak masuk ke dapur. Banyak tip serta panduan yang boleh anda gunakan untuk memudahkan kerja memasak setiap hari. Contohnya seperti berikut:

RANCANG MENU ANDA

Senaraikan hidangan dalam seminggu untuk mengelakka­n anda daripada membuang masa memikirkan apa yang mahu dimasak. Ini juga memudahkan anda untuk membeli barangan dapur yang sesuai dengan jumlah isi rumah. Jika ketandusan idea, anda boleh saja cari rujukan di Internet.

ASINGKAN BAHAN MASAKAN

Bahan mentah seperti ayam, daging dan makanan laut boleh dibersihka­n sebelum disimpan di dalam peti sejuk. Bahagikan bahan mentah mengikut saiz hidangan. Sedikit info seperti tarikh dan jumlah potongan boleh ditulis pada bekas simpanan bagi memudahkan urusan memasak anda kelak.

Ikan seeloknya tidak dibasuh kerana jika dibasuh, ia akan mudah rosak. Jadi caranya, siangkan ikan dengan membuang isi perut, sisik dan sirip, lalu simpan di dalam bekas yang sesuai. Hanya bersihkan apabila anda mahu gunakannya untuk memasak.

Sekiranya anda membeli bekalan sayuran untuk tempoh seminggu, pastikan sayuran yang dibeli diasingkan mengikut jenis. Sayuran yang berdaun akan cepat layu atau rosak berbanding dengan labu, lobak merah ataupun kekacang.

Rendam sayuran yang sudah dipotong ke dalam air yang dicampur dengan garam selama kira-kira 10 ke 15 minit. Kemudian bilas dengan air bersih dan toskan sayuran sebelum disimpan ke dalam bekas kedap udara. Proses ini boleh melanjutka­n kesegaran sayur terutamany­a yang berdaun.

SEDIAKAN BAHAN TUMIS

Bahan tumis seperti bawang merah, bawang putih, halia, cili dan kunyit boleh anda sediakan awal. Semua bahan ini boleh dikupas dan dikisar terlebih dahulu, kemudian simpan dalam bekas tertutup, seterusnya masukkan ke dalam peti sejuk.

Untuk mempercepa­tkan masa memasak, sediakan cili kisar yang sudah siap ditumis mengikut kuantiti seminggu atau mengikut kekerapan anda memasak. Cili ditumis sehingga pecah minyak dan biarkan sejuk sebelum disimpan di dalam bekas yang sesuai. Jika cili disimpan di bahagian sejuk dingin, ia boleh disimpan selama seminggu sahaja, namun jika di bahagian sejuk beku pula, cili boleh bertahan sehingga tiga bulan.

IKUT TURUTAN KERJA YANG BETUL

Sebelum memasak, semak senarai menu dan buat pilihan apa yang ingin dimasak. Perkara pertama yang perlu dibuat adalah menyahbeku­kan bahan mentah yang beku. Selepas itu, anda boleh masak nasi dahulu, diikuti dengan lauk-pauk yang lain.

Masak dahulu lauk yang memerlukan masa yang lama seperti daging, ayam dan diakhiri dengan sayuran. Jika anda bijak mengikut urutan kerja yang betul, masa memasak di dapur akan menjadi lebih singkat dan mudah.

J

Chef Imelda Harris Chef Selebriti & Pemilik Hydeout Mont Kiara

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.