FOKUS JELITA Kenali Kanser Kulit

Jangan ambil mudah dengan perubahan yang berlaku pada kulit anda. Rujuk kepada pakar untuk mengesahka­n sama ada ia kanser atau tidak.

Jelita - - Contents -

Barah kulit adalah ketumbuhan yang terjadi pada kulit disebabkan sel yang tidak normal. Terdapat pelbagai jenis kanser kulit yang berasal daripada sel lapisan kulit yang berlainan. Tiga jenis barah kulit yang utama adalah basal cell carcinoma, squamous cell carcinoma dan malignant melanoma. Menurut Laporan Daftar Kanser di Malaysia (3rd Annual Report of National Cancer Registry 2003-2005), kanser kulit adalah kanser ke-10 paling kerap berlaku di Malaysia dan menyumbang kepada 2.6 peratus kepada kesemua kes kanser di Malaysia.

Tanda dan Simptom Penyakit

Kanser kulit lebih cenderung melibatkan bahagian seperti muka, kepala, leher serta lengan kerana bahagian berkenaan tidak dilindungi dan terdedah terus kepada pancaran matahari. Kanser kulit mempunyai pelbagai rupa bergantung kepada jenisnya. Antara tandanya ialah perubahan pada kulit yang tidak boleh sembuh, pendarahan, ulser, perubahan warna dan perubahan rupa tahi lalat sedia ada.

“Basal cell carcinoma boleh bermula daripada hanya satu tompok kulit yang kecil dan semakin membesar menjadi tompok yang bulat atau bujur. Bahagian tengah barah ini mungkin berdarah atau membentuk ulser.

“Squamous cell carcinoma pula boleh kelihatan sebagai tompok merah dengan permukaan yang sedikit bersisik. Ia mungkin bermula daripada ulser kronik atau luka yang mengambil masa terlampau lama untuk sembuh. Ia boleh berbentuk tidak sekata, berdarah dan menyebabka­n rasa sakit atau gatal pada pesakit.

“Melanoma pula boleh terjadi pada mana-mana bahagian badan, sama ada berasal daripada tahi lalat yang bertukar menjadi barah atau pada kulit biasa. Barah ini biasanya mempunyai bentuk yang tidak simetri, tepi dan permukaan barah yang tidak sekata serta pelbagai warna pada permukaan barah. Ia biasanya mempunyai lebih daripada satu warna seperti coklat terang, coklat tua, gelap atau hitam. Diameter barah ini pula biasanya melebihi 6mm. Perubahan mendadak seperti pendarahan, pertambaha­n saiz, bentuk atau warna pada tahi lalat sedia ada mungkin berlaku dalam kes kanser kulit jenis ini,” terang Dr Tee Shwu Hoon, pakar kulit di Columbia Asia Hospital Puchong.

Pemeriksaa­n sendiri boleh dilakukan dengan memerhatik­an ciri tersebut. Jika terdapat sebarang ketidakpas­tian, anda dinasihatk­an untuk mengatur janji temu dengan doktor untuk pemeriksaa­n lanjut dan laporkan sebarang perubahan kulit yang berlaku.

Komplikasi Kepada Pesakit

Beberapa faktor termasuk jenis barah kulit dan tempuh pengesanan barah dapat mempengaru­hi prognosis kanser ini. Basal cell carcinoma dan squamous cell carcinoma jarang merebak kepada

organ berdekatan dan peluang untuk sembuh lebih baik berbanding melanoma. Melanoma adalah barah kulit paling bahaya, di mana ia membesar dan merebak ke organ lain dengan cepat dan memudaratk­an.

Diagnosis dan Rawatan

Diagnosis kanser kulit biasanya dilakukan melalui biopsi kulit. Sedikit sampel kulit akan dipotong dan diperiksa menggunaka­n mikroskop. Rawatan barah kulit pula bergantung kepada faktor seperti jenis, lokasi, saiz dan tahap barah, umur pesakit serta sama ada barah kulit pertama kali berlaku atau yang berulang. “Contohnya, basal cell carcinoma boleh dirawat dengan cara pembedahan. Kaedah rawatan lain untuk barah ini termasuk cryotherap­y, kemoterapi setempat dan topical photodynam­ic therapy. Untuk squamous cell carcinoma, pembedahan boleh dijalankan jika ketumbuhan boleh dibedah sepenuhnya. Jika barah ini tidak dapat dibedah, pesakit boleh diberikan rawatan radioterap­i.

“Melanoma pula tumbuh dan merebak dengan cepat kepada organ berdekatan seperti kelenjar limpa dan organ dalaman, jadi pesakit perlu melalui proses staging dengan CT scan untuk menentukan tahap penyakit. Rawatan melanoma biasanya melibatkan sepasukan pakar yang terdiri dari pakar kulit, pakar bedah dan pakar onkologi untuk membincang­kan kaedah rawatan yang paling optimal kepada pesakit. Jika barah tidak merebak, ketumbuhan ini boleh dibedah dengan sepenuhnya bersama sebahagian kulit yang normal. Rawatan kemoterapi mungkin diperlukan bergantung kepada tahap kanser. Pemantauan melalui janji temu susulan adalah amat penting untuk pesakit melanoma bagi mengesan dan merawat sebarang komplikasi yang mungkin berlaku,” jelas Dr Tee.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.