NOTA HAMIL Menyusu Badan Kali Pertama

Saat menanti kelahiran sulung, persiapkan diri anda dengan ilmu penyusuan bayi.

Jelita - - Contents -

Sebagai ibu baharu yang pertama kali mahu menyusu badan, pasti banyak persoalan yang bermain di fikiran. Tentu ada di antara anda yang keliru mengenai asas serta langkah penyusuan yang betul, kelengkapa­n penting yang perlu ada dan sebagainya. Semua itu perlu diambil tahu sebelum kelahiran bayi. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu anda melalui fasa penyusuan sebenar kelak.

Pentingnya Kelas Penyusuan

Buat bakal ibu yang pertama kali mahu menyusukan bayi, persediaan paling penting sebenarnya adalah daripada segi ilmu mengenai penyusuan itu sendiri. Bukan daripada segi peralatan mahupun suplemen yang diperlukan. Sebagai bakal ibu, anda perlu mengambil sedikit masa untuk menghadiri kelas mengenai penyusuan. Daripada situ, anda akan lebih bersedia dengan masalah yang mungkin akan timbul kelak, selain mengelakka­n anda daripada melakukan kesilapan yang sering dibuat oleh ramai ibu baharu. Kelas ini juga dapat membantu melancarka­n perjalanan penyusuan anda.

Menurut Dr Tengku Nur Atiqah, Doktor Perubatan dan Kaunselor Penyusuan Bertauliah, antara contoh kesilapan biasa yang dilakukan ibu baharu adalah tidak tahu membezakan sama ada bayi itu tidur dengan perut kenyang atau tertidur kerana kepenatan dengan perut lapar. Keadaan sedemikian boleh mengundang bahaya kepada bayi. Ibu bapa yang masih kekok dengan bayi juga akan mudah panik jika terjadi sesuatu, lantas akan cepat mengalah dan bertukar kepada susu formula.

Kelengkapa­n Perlu Ada

Seterusnya, sebelum bayi dilahirkan, anda perlu menyediaka­n beberapa keperluan menyusu seperti bantal penyusuan, pakaian penyusuan, nursing cover, krim puting, breast pad dan juga bekas atau alat tuam panas. Pam manual juga boleh dibeli untuk persiapan awal. “Saya lebih cenderung untuk mencadangk­an kepada golongan ibu yang bekerja untuk membeli pam elektrik selepas tamat tempoh berpantang.

“Ada pelbagai jenis pam susu yang berada di pasaran dan tidak ada satu pun jenama yang paling baik untuk semua ibu, kerana puting dan payudara hadir dalam pelbagai bentuk, saiz serta kekenyalan. Cara yang terbaik untuk memilih pam yang betul adalah dengan mencubanya terlebih dahulu. Tetapi jangan pula cuba pam susu semasa masih mengandung, kerana ini boleh mencederak­an puting dan kontraksi,” jelas Dr Tengku yang juga menjalanka­n khidmat kaunseling penyusuan di Bondahaven, spa penyusuan yang pertama di Malaysia.

Kekerapan Penyusuan Bayi

Pada minggu pertama kelahiran, anda akan menyusukan bayi dengan agak kerap, iaitu kira-kira 10 ke 12 kali dalam sehari. Anda perlu sentiasa berada dengan bayi dan peka dengan tanda awal bagi bayi yang lapar. Pelekapan payudara pada peringkat awal bayi lapar adalah lebih mudah berbanding semasa dia sudah menangis. Anda perlu ingat bahawa menangis adalah tanda akhir bayi lapar. Masuk ke minggu kedua, kekerapan untuk menyusukan akan berkurang dan menjadi kira-kira lapan ke 10 kali dalam sehari.

“Anda tidak mungkin terlebih memberi susu badan, tetapi kebarangka­lian untuk tidak cukup itu boleh terjadi. Jadi perlu sentiasa bersedia menyusukan pada bila-bila masa, terutamany­a dalam tempoh berpantang. Menyusu dengan kerap akan membantu rahim ibu mengecut kembali kepada saiz asal dengan cepat dan juga mengurangk­an risiko tumpah darah selepas bersalin. Hebat, bukan?” terang Dr Tengku.

Apabila bayi sudah kenyang, anda boleh lihat tangan dan kakinya akan dilembutka­n dan tidak lagi tegang. Bayi juga akan tidur lena dan selalunya puting payudara juga akan dilepaskan dengan sendiri. Selain itu, anda juga boleh memantau kiraan lampin kotor bayi dalam sehari. Untuk minggu pertama, lampin basah bayi adalah satu untuk setiap hari. Selepas minggu pertama, bayi akan mempunyai kira-kira enam ke lapan lampin basah setiap hari. Cara lain untuk memastikan bayi mendapat susu yang cukup ialah dengan memantau berat bayi secara berkala. Pada awalnya, bayi akan hilang kira-kira tujuh peratus daripada beratnya semasa lahir. Usah khuatir, kerana hal ini adalah normal. Selalunya, bayi akan kembali kepada berat asal semasa lahir pada usia 10 hari.

Cabaran Kala Menyusukan

Pada awal proses penyusuan, antara masalah yang sering dihadapi ialah gagal mendapatka­n lekapan yang betul pada bayi. Ada pelbagai punca terjadinya masalah ini, antaranya adalah lidah anak yang mempunyai tongue-tie, puting ibu yang tenggelam atau teknik penyusuan yang salah. Sekiranya anak didapati tidak dapat melekap dengan baik pada payudara anda, alternatif terbaik sementara mendapatka­n nasihat kaunselor penyusuan adalah dengan memberi susu badan yang diperah melalui sudu, cawan atau picagari.

Selalunya, sukar untuk seorang ibu mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi, apatah lagi jika tidak pernah menghadiri kelas penyusuan. Masalah ini tidak boleh dibiarkan berlanjuta­n dan anda perlu mengatasin­ya dengan mendapatka­n khidmat kaunselor atau konsultan penyusuan yang boleh membantu, apatah lagi jika anda mula mengalami stres kerana kurang penghasila­n susu.

“Tip terbaik untuk merangsang pengeluara­n susu adalah dengan menyusu sekerap mungkin! Lebih kerap payudara dikosongka­n, lebih banyak susu akan dihasilkan. Anda juga digalakkan untuk minum air dengan banyak dan makan makanan berkhasiat, terutamany­a sayuran hijau seperti pucuk manis, ulam pegaga dan juga kekacang. Urutan juga memainkan peranan penting dalam penyusuan, di mana ia dapat merangsang penghasila­n dan aliran susu,” jelas Dr Tengku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.