Utusan Borneo (Sabah)

16 warga asing ditahan di sekitar Bukit Mertajam

-

BUKIT MERTAJAM: Seramai 16 warga asing termasuk enam wanita ditahan di sekitar kawasan Seberang Perai Tengah ( SPT) di sini dalam Op Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam operasi yang bermula pukul 11.30 malam hingga 4 pagi tadi, pihaknya menjalanka­n pemeriksaa­n di beberapa kawasan tempat tinggal warga asing di daerah itu.

“Dalam serbuan pertama di kawasan perumahan di Bukit Tengah, kami menahan tiga wanita Indonesia dan dua lelaki India yang tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan diri.

“Pemeriksaa­n juga mendapati dua lelaki India yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Bukit Mertajam itu memiliki dan positif dadah,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Beliau berkata dalam serbuan seterusnya di kawasan flat sekitar Juru, polis menahan lapan lelaki dan tiga wanita Indonesia kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.

Rusli berkata 16 warga asing berusia 25 hingga 43 tahun itu dibawa balik ke IPD SPT untuk didokument­asi sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIPP) bagi siasatan lanjut.

Katanya dalam operasi yang sama, polis turut menjalanka­n pemeriksaa­n ke atas sebuah pusat hiburan sebelum menahan pemiliknya berusia 38 tahun kerana menjalanka­n perniagaan tanpa lesen sah dan kes itu disiasat menurut Seksyen 6 ( 1) Enakmen Hiburan Negeri.

“Kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 20- an di sebuah rumah di Bukit Mertajam kerana memiliki air ketum. Dia yang tidak bekerja itu kini direman dan disiasat menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata seramai 92 pegawai dan anggota polis dibantu penguat kuasa JIPP terlibat dalam operasi mengesan warga asing tanpa dokumen yang sah serta mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia