Utusan Borneo (Sabah)

10 tebusan Indonesia dibebas

-

Sepuluh kelasi Indonesia yang diculik militan Abu Sayyaf dibebaskan di selatan Filipina semalam selepas lima minggu ditahan, kata polis Filipina.

Lelaki tidak dikenali meninggalk­an 10 anak kapal tunda itu di rumah gabenor wilayah Abdusakur Tan Jnr di pulau terpencil Jolo ketika hujan lebat tengah hari, kata ketua polis Jolo Junpikar Sitin dalam panggilan telefon.

“Laporan (mengenai pembebasan mereka) itu disahkan. Mereka ada di sana. Saya ada melihat mereka,” tambah Superinten­den Sitin.

Keadaan bekas tebusan itu tidak segera diketahui tetapi Sitin berkata kumpulan tersebut makan tengah hari di rumah gabenor.

Mereka diculik pada 26 Mac lalu oleh lelaki bersenjata yang menurut pihak berkuasa Filipina adalah anggota Abu Sayyaf, kumpulan militan kecil berpangkal­an di Jolo dan pulau Basilan berdekatan.

Kumpulan itu dilaporkan meminta wang tebusan tetapi Sitin berkata beliau tidak tahu sama ada ia dibayar tetapi Abu Sayyaf biasanya tidak membebaska­n tebusan jika wang tebusan tidak dibayar.

Mangsa culik dari Indonesia dibebaskan enam hari selepas anggota Abu Sayyaf memenggal kepala tebusan Kanada John Ridsdel.

Presiden Filipina, Benigno Aquino berjanji Rabu lepas untuk meneutralk­an kumpulan militan Islam itu selepas kepala Ridsdel ditinggalk­an di luar sebuah bangunan kerajaan di Jolo.

Pihak berkuasa berkata kumpulan itu masih menahan 11 tebusan asing lain — masing- masing empat warga Indonesia dan Malaysia, serta masing-masing seorang warga Kanada, Norway dan lelaki Belanda.

Abu Sayyaf merupakan kumpulan radikal yang muncul daripada pemberonta­kan pemisah Islam di selatan Filipina, negara majoriti Katolik, yang sudah meragut lebih 100,000 nyawa sejak zaman 1970-an.

Ia dipercayai mempunyai hanya beberapa ratus anggota sahaja tetapi masih bertahan walaupun operasi ketenteraa­n dengan sokongan Amerika Syarikat sudah berulang kali dilancarka­n terhadapny­a, dengan menggunaka­n kawasan hutan yang bergunung-ganang di Jolo dan pulau berdekatan untuk membantuny­a.

Geng Abu Sayyaf sudah memperoleh­i jutaan dolar daripada kegiatan menculik orang asing dan penduduk tempatan sejak awal zaman 1990-an. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia