Utusan Borneo (Sabah)

Pembinaan stadium Qatar dihantui maut

-

DOHA: Seorang pekerja kilang keluli dari India yang jatuh sakit di sebuah tapak Piala Dunia Qatar telah meninggal dunia, penganjur kejohanan 2022 mengumumka­n dalam satu kenyataan kelmarin.

Jaleshwar Prasad, 48, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas jatuh sakit di stadium Al Bayt pada pagi Rabu lepas, kata Jawatankua­sa Penyampaia­n dan Warisan Tertinggi, badan yang bertanggun­gjawab menganjurk­an Piala Dunia Qatar.

Dia dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia kirakira dua jam kemudian.

“Prasad jatuh sakit di lokasi sekitar jam 9.30 pagi Rabu 27 April,” menurut kenyataan jawatankua­sa tersebut.

“Dia menerima rawatan kecemasan sehingga ahli paramedik tiba.

“Dia dipindahka­n ke Hospital Al Khor tetapi malangnya meninggal dunia sekitar jam 11.30 pagi,” tambahnya.

“Hospital Al Khor melaporkan punca kematian sebagai serangan jantung.”

Jawatankua­sa tertinggi itu berkata siasatan lengkap sedang dijalankan dan keluarga Prasad sudah dimaklumka­n di mana pihak majikan memberi semua sokongan yang perlu.

Al Bayt sebuah stadium dengan kapasiti 60,000 orang, ke utara ibu negara Doha, dan akan digunakan sehingga peringkat separuh akhir pada 2022.

Isu kematian di kalangan pekerja buruh migran yang membantu membina stadium untuk kejohanan bernilai AS$30 bilion (RM114 bilion) di Qatar sudah lama ternyata kontrovers­i.

Pengkritik mendakwa 1,200 pekerja sudah pun mati dan seramai 4,000 mungkin akan mati sebelum Piala Dunia bermula.

Perangkaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Qatar, dan pegawai sebelum ini mendakwa tidak ada pekerja yang mati.

Satu laporan Amnesty Internatio­nal yang diterbitka­n pada Mac lalu menuduh Qatar mendera pekerja Piala Dunia.

Walaupun demikian Qatar menerima sokongan sepenuhnya daripada presiden baharu FIFA Gianni Infantino pada April lalu yang berkata dalam lawatan ke Doha bahawa negara itu sudah mencapai kemajuan dalam isu reformasi buruh dan kejohanan pada 2022 itu pasti akan diadakan di Teluk.

Qatar sekarang mempunyai kira-kira 5,100 pekerja di tapak-tapak Piala Dunia.

Jumlah tersebut mencapai kemuncak 36,000 orang menjelang 2018. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia