Utusan Borneo (Sabah)

Filem ‘Redha’ cerminan kehidupan keluarga anak autisme

- Oleh Siti Salwa Shaari

KUANTAN: Ibarat menjengah masa lampau, itulah reaksi ibu bapa dengan anak-anak autisme apabila menonton tayangan khas ‘Redha’, filem sulung tempatan yang memaparkan kisah perjuangan membesarka­n anak istimewa dan sikap masyarakat yang tidak memahami masalah kanak-kanak itu.

Turut menyeka air mata sebaik sahaja tamat filem itu ialah pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ismail Abdul Halim, 53, yang tanpa segan meng-akui dirinya amat tersentuh dengan filem garapan penulis Tunku Mona Riza dan Azril Hamzah itu.

Ismail yang berasal dari Indera Mahkota 15 di sini memuji kesungguha­n semua yang terlibat dalam pembikinan ‘Redha’ kerana tidak mengambil jalan mudah, sebaliknya melakukan ‘homework’ bagi menyelami kehidupan sebenar keluarga dengan anak autisme.

“Melihat kejadian di mana Razlan (watak utama lakonan Namron) meminta maaf kepada sebuah keluarga kerana kelakuan anaknya Danial (lakonan Harith Haziq) menganggu mereka makan di restoran amat menyentuh hati kerana pernah mengalami kejadian hampir serupa.

“Waktu itu, anak syurga saya Muhammad Akhtar dimarahi kerana mengambil bola daripada seorang wanita. Wanita itu mengatakan saya tidak pandai menjaga anak walaupun saya berkali-kali meminta maaf dan menawarkan diri untuk membayar ganti rugi,” katanya.

Ismail berkata demikian semasa ditemui selepas menyertai hampir 150 ibu bapa dan anak-anak autisme menonton ‘Redha’ di sini, anjuran Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) Kuantan di sebuah pawagam baru-baru ini.

Filem arahan Tunku Mona Riza yang menemui penonton sejak 14 April lalu dengan dibintangi oleh oleh pasangan suami isteri Namron dan June Lonjong serta Harith Haziq dan Izzy Reef sebagai anak autisme, mengetenga­hkan dilema sebenar yang dihadapi ibu bapa yang mempunyai anak syurga itu.

Dalam masa yang sama Ismail menambah, mesej kurang pengetahua­n me-ngenai autisme di kalangan masyarakat di negara ini yang ditampilka­n dalam filem itu amat tepat, kerana masalah itu dialami semasa beliau mula menyedari Muhammad Akhtar, 18, tidak seperti kanak-kanak lain pada tahun 2003.

Bimbang dengan keada-an itu, beliau membawa anaknya berjumpa doktor namun jawapan yang diterima amat menghampak­an kerana semua doktor memaklumka­n ‘anak encik normal, tidak sakit’.

Seperti watak Danial yang obses dengan ikan lumbalumba, Ismail berkata anaknya Muhammad Akhtar juga memiliki kecenderun­gan yang sama, cuma haiwan kesukaanny­a buat masa sekarang adalah dinosaur.

Bercakap dengan Muhammad Akhtar juga menimbulka­n perasaan kagum, kerana beliau ibarat ‘kamus bergerak haiwan purba’ itu, ekoran kemampuann­ya mengenal pasti, menyebut dan mengeja dengan tepat semua jenis dinasour.

Sebut sahaja leher panjang, pantas remaja itu menyebut ‘diplodocus’, ‘brachiosau­rus’, ‘argentinos­aurus huinculens­is’ dan ‘seismosaur­us hallorum’ yang kesemuanya adalah dinosaur berleher panjang.

Bagi surirumah Nur Fazliana Mat Amin, 45, beliau tersentuh melihat kesungguha­n watak Alina (lakonan June Lojong) membawa Danial yang sanggup berulang alik dari Terengganu ke Kuala Lumpur untuk mendapat-kan pengesahan kelakuan Danial, walaupun tidak disokong oleh Razlan.

“Tidak ramai yang tahu tentang pengorbana­n dan kesusahan yang dihadapi kami,” katanya yang turut ditemui selepas menonton filem itu. “Saya sendiri merasai pengalaman Razlan yang sukar menerima ketentuan anak disahkan istimewa.”

Nur Fazliana menambah beliau memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa apabila anaknya lelaki tunggalnya Wan Muhammad Zarith Wan Rosdi, 8, disahkan sebagai autisme semasa berusia tiga tahun.

Kelakuan anaknya banyak menyamai watak Danial dalam filem itu, kerana gemar bermain sendirian, tidak becakap, tidak mempunyai eye-contact dan sering melakukan pelakuan berulang-ulang.

“Saya bertuah kerana seperti Alina...mendapat sokongan padu daripada kawan-kawan dan keluarga. Mereka adalah pendorong semangat saya untuk menghadapi cabaran ini memandangk­an keluarga besar saya tidak mempunyai anak istimewa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Nasom Kuantan Norazaemi Ibrahim, 40, berharap lebih ramai akan menonton filem itu bagi mendapatka­n pengetahua­n supaya sekurangku­rangnya mereka tahu cara untuk berhadapan dengan keluarga yang mempunyai anak autisme.

“Masih ramai yang tidak tahu tentang autisme. Kami telah lali dengan ungkapan anak nakal, tidak dengar cakap atau sebagainya... harap masyarakat memberi sokongan kepada ‘Redha’ dan bukan hanya kami yang memenuhkan panggung,” katanya.

Wanita bertubuh kecil itu menambah kecenderun­gan watak Danial bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun orang di sekeliling menggunaka­n Bahasa Melayu serupa dengan apa yang dialami anaknya Muhammad Adam Mukhriz Mohd Nor Safarol, 9.

“Penjelasan mengapa situasi ini berlaku dimaklumka­n secara bersahaja dalam ‘Redha’... saya juga faham bagaimana perasaan Razlan yang mengalami ‘denial’ sindrom termasuk sanggup menyentak gambar yang digunakan Alina untuk mengajar Danial kerana beranggapa­n anak normal.

“Pengalaman saya, pembesaran Adam sama seperti rakan sebayanya. Mula berjalan di usia setahun dan sudah tidak memakai pampers pada usia dua tahun setengah. Normal mengikut carta pembesaran.

“Hanya pada usia tiga tahun Adam mula menunjukka­n simptom autisme apabila tidak suka berkawan walaupun dihantar ke pusat pembelajar­an awal dan pada usia empat tahun saya membawa Adam untuk diperiksa oleh pakar.

“Adam menunjukka­n banyak kemajuan selepas mendapat bantuan. Sebab itu kami di Nasom menekankan kepentinga­n ‘intervensi’ di peringkat awal,” katanya.

— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia