Utusan Borneo (Sabah)

Warga emas maut motosikal dirempuh perahu

-

KUALA PENYU: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikaln­ya bertembung dengan perahu yang ditunda sebuah kereta Toyota Land Cruiser.

Mangsa yang dikenali sebagai Ahmat @ Ahmad Udih, 65, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superinten­den Azmir Abd Razak berkata kejadian terbabit berlaku di Batu 2 Jalan Kuala Penyu-Kayul, di sini kira-kira jam 9.30 pagi Ahad lepas.

Menurutnya, selain mangsa, pembonceng motosikal berkenaan Jesni Ulai, 27, mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kereta Melvin Mikiu, 38, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kayul menuju ke Kuala Penyu dengan menunda sebuah perahu.

“Mangsa yang datang dari arah pekan Kuala Penyu kemudianny­a dilanggar oleh perahu terbabit selepas pencangkuk perahu itu secara tiba-tiba terlepas.

“Akibatnya, perahu terbabit terbabas ke laluan bertentang­an dan merempuh motosikal mangsa hingga terjatuh ke jalan raya,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah di muka dipercayai terkena bahagian bucu depan perahu.

Katanya, mangsa yang terlibat dibawa ke Hospital Daerah Kuala Penyu untuk siasatan dan rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan berpunca dari kecuaian pemandu Land Cruiser kerana tidak mengikat dengan kemas perahu terbabit.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987,” katanya.

 ??  ?? MOTOSIKAL mangsa yang remuk teruk akibat dari kemalangan terbabit.
MOTOSIKAL mangsa yang remuk teruk akibat dari kemalangan terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia