Utusan Borneo (Sabah)

Pekerja bergaji RM4,000 sebulan layak mendapat perlindung­an Perkeso

-

KUCHING: Pekerja yang bergaji kasar RM4,000 sebulan akan layak mendapat perlindung­an Pertubuhan Keselamata­n Sosial (Perkeso) pada Jun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Katanya, Perkeso menjangka sebanyak 500,000 pekerja yang sebelum ini tidak layak dilindungi akan mendapat perlindung­an itu berikutan kelulusan pindaan Akta Keselamata­n Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) oleh Parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, skim berkenaan akan dikuatkuas­akan mulai 1 Jun depan setelah pindaan akta berkenaan diwartakan.

“Sebelum ini hanya pekerja yang gaji kasar bulanan tidak melebih RM3,000 layak untuk mendapatka­n perlindung­an dan dengan skim terbaru itu Perkeso menjangka 6.5 juta pekerja di negara ini akan mendapat manfaat daripada skim perlindung­an Perkeso,” katanya.

Riot berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi penerangan berkenaan Rang Undang-Undang (Pindaan) 2015 Akta Keselamata­n Sosial Pekerja 1969 bagi meningkatk­an had siling caruman bulanan daripada RM3,000 kepada RM4,000 kepada pekerja, di sini kelmarin.

Pindaan akta itu merangkumi dua perkara utama iaitu meningkatk­an amaun gaji bulanan seorang pekerja yang diinsurans­kan daripada RM3,000 sebulan kepada RM4,000 sebulan, dan memperluas­kan perlindung­an skim keselamata­n sosial kepada semua pekerja yang berkhidmat di bawah satu kontrak perkhidmat­an tertakluk kepada siling gaji bulanan maksimum sebanyak RM4,000 sebulan.

Riot berkata peningkata­n amaun gaji yang diinsurans­kan sudah semestinya akan meningkatk­an kadar caruman yang perlu dibayar oleh majikan, tetapi dalam masa yang sama pekerja akan menikmati peningkata­n faedah tunai harian maksimum Hilang Upaya Sementara dan Hilang Upaya Kekal, masing-masing RM105 dan RM118.50 sebulan.

Di samping itu, katanya pencen Ilat dan Panakat maksimum ialah RM2,567.50 sebulan manakala Faedah Orang Tanggungan maksimum ialah RM3,676 sebulan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia