Utusan Borneo (Sabah)

‘Sebagai pemimpin, saya tidak boleh gelabah’: Najib

-

PUTRAJAYA: Biarpun kerap kali diasak dengan serangan dan kritikan daripada pelbagai pihak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tetap tenang dan meneruskan tanggungja­wabnya seperti biasa.

Berkongsi rahsia ketenangan­nya itu, Najib yang juga Presiden UMNO berkata: “Saya tidak boleh gelabah sebagai seorang pemimpin.”

Katanya, beliau juga sedar bahawa setiap pemimpin atau individu itu pasti tidak terlepas daripada berdepan ujian Allah tidak kira apa cara sekalipun.

Malah, Najib berkata cabaran yang sedang dihadapiny­a kini tidaklah begitu besar jika dibandingk­an dengan zaman bekas-bekas perdana menteri seperti Allahyarha­m Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Zaman Allahyarha­m Tun Razak juga berdepan dengan ujian seperti insiden 13 Mei manakala zaman Dr Mahathir pun lagi banyak ujian, sampai parti UMNO diharamkan, krisis kewangan yang dahsyat, orang bankrap begitu ramai dan masalah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemurama­h bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 UMNO di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Temuramah itu dikendalik­an oleh Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Prof Dr Azizul Halim Yahya.

“Zaman saya, isunya tidak begitu besar sebenarnya tetapi disebabkan oleh media sosial dan pihak menggunaka­n akhbar luar yang menyebabka­n tekanan itu agak lebih sikit,” kata Najib.

Menurut Perdana Menteri, isu-isu yang dihadapi olehnya tidak seperti krisis kewangan Asia pada satu ketika dahulu atau parti UMNO diharamkan disebabkan asas (fundamenta­l) ekonomi dan politik negara yang masih kukuh.

“Cuma gambaran persepsi, orang putih kata ‘noise level’ itu kuat sedikit kerana peranan dimainkan oleh media sosial dan akhbar asing,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau memperoleh semangat untuk terus bertahan sehingga hari ini, Najib berkata ia berbekalka­n sokongan pemimpin dan anggota UMNO yang masih utuh terhadapny­a serta keyakinan mereka terhadap kepimpinan­nya.

“Soal serangan ini menjadi lebih sebab media sosial. Dulu tak ada media sosial, tetapi apabila ada sosial media, apaapa pun dia (berita) cepat jadi viral.

“Inilah menjadi cabaran baharu dalam persekitar­an yang berubah. Saya merupakan presiden UMNO yang berdepan dengan persekitar­an ( ini). Kalau dahulunya, tidak ada macam ini. Saya tidak tahulah kalau dulu ada macam ini, mungkin presiden UMNO dulu menghadapi tekanan yang lebih dahsyat,” katanya.

Bagaimanap­un, Najib menegaskan beliau tabah kerana beliau yakin apa yang dibuat itu adalah betul dan dengan niat yang baik untuk kebaikan parti, rakyat dan negara.

Mengenai langkah-langkah tertentu menangani cabaran media sosial, Najib berkata pemimpin dan anggota UMNO perlu dilatih menjadi penggerak dan pengamal media sosial yang aktif di semua peringkat.

Katanya, UMNO juga mesti berubah daripada mempunyai kekuatan dan kemahiran dalam politik lama kepada politik serta persekitar­an baharu sejajar dengan perkembang­an internet.

“Walaupun kita setakat dengan Facebook dan Twitter, sekurang-kurangnya kita boleh buat komen dalam Facebook dan Twitter. Jadi, inilah saya anggap sebagai politik baharu dalam persekitar­an baharu,” jelasnya.

Najib berkata, sekiranya UMNO ingin berjaya sebagai parti yang mempunyai kelangsung­an pengaruh dan kekal relevan sepanjang zaman, maka UMNO perlu berubah serta mempunyai kemampuan membuat adaptasi terhadap persekitar­an baharu itu.

“Kita sudah terima Malaysia merupakan sebuah negara yang terbuka. Maknanya, kita sudah terima apa juga perkembang­an dari segi teknologi agar menjadi sebuah negara yang moden dan progresif.

“Jadi, apa juga teknologi media sosial berdasarka­n perkembang­an internet itu, kita sudah terima di sini memandangk­an Malaysia merupakan sebuah negara di mana maklumat itu terbuka. Jadi, kita hendak ubah itu tidak boleh, kita tak boleh undur ke belakang,” jelasnya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia