Utusan Borneo (Sabah)

United berdepan perlawanan penuh emosi di Boleyn Ground hari ini

-

LONDON, England: Manchester United mempunyai motivasi untuk memburu satu tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan ketika membuat persediaan untuk satu perlawanan penuh emosi di West Ham United hari ini.

Keputusan seri 2-2 di antara Manchester City dan Arsenal Ahad lepas bermakna United boleh memintas City di tangga keempat sekiranya menewaskan West Ham dan kemudian menang menentang Bournemout­h pada perlawanan terakhir Ahad ini.

Selepas itu, United akan menentang Crystal Palace pada final Piala FA dan tiba-tiba menjadikan pengurusny­a, Louis van Gaal, tersenyum girang tetapi West Ham akan bermain untuk perlawanan terakhir mereka di Boleyn Ground dengan United boleh menjangkak­an lawan dengan motivasi tambahan untuk mengakhiri penampilan di Bolen Ground dengan kemenangan.

Bercakap selepas City seri dengan Arsenal, Van Gaal berkata: “Ia masih sukar. Sekarang kami harus bertandang ke West Ham dan kita sudah menentang mereka dalam perlawanan suku akhir Piala FA (United menang 2-1) di mana ia bukan perlawanan mudah. Kami perlu mengulangi kemenangan itu.

“West Ham adalah pasukan yang bagus – ia bukan kebetulan mereka berada di enam tangga teratas liga. Kami juga bernasib baik dalam pertanding­an piala.

“Saya fikir kami selayaknya menang tetapi kami bernasib baik kerana satu gol West Ham tidak dibenarkan pengadil pada lewat permainan.”

Marcus Rashford menjadi inspirasi kemenangan United pada kunjungan terakhir di West Ham pada bulan April, apabila membuka jaringan dengan satu jaringan solo dan penyerang berusia 18 tahun itu dijangka akan kembali ke dalam kesebelasa­n utama selepas direhatkan ketika kemenangan 1-0 ke atas Norwich City Sabtu lepas.

Pemain pertahanan tengah, Daley Blind, juga akan kembali selepas direhatkan tetapi penyerang Anthony Martial dan pemain pertahanan, Matteo Darmian, diragui dalam beraksi.

Martial dikeluarka­n dari kesebelasa­n utama menentang Norwich selepas mengadu sakit otot semasa sesi memanas badan sementara Darmian diusung keluar semasa perlawanan kerana kecederaan buku lali.

Kemenangan United ke atas West Ham dalam Piala FA menamatkan harapan West Ham untuk mengakhiri musim di Boleyn Ground dengan satu kejuaraan dan impian kelab menamatkan saingan di empat tangga teratas liga juga berakhir apabila tewas 1-4 kepada Swansea City Sabtu lepas.

Ia adalah kekalahan pertama West Ham di tempat sendiri dalam liga sejak bulan Ogos – atau 15 perlawanan – dan menyebabka­n kelayakan ke Liga Europa menjadi sasaran realistik mereka pada akhir musim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia