Utusan Borneo (Sabah)

Kabinet bincang pemberian visa kepada rakyat Asia Barat

-

BAGAN DATOH: Kementeria­n Dalam Negeri akan mengkaji secara terperinci cadangan Majlis Keselamata­n Negara ( MKN) supaya kerajaan mengenakan visa warga asing ke atas pelancong dari Asia Barat bagi mengekang ancaman militan Daesh.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini untuk mendapatka­n pandangan jemaah menteri terutama Menteri Pelanconga­n dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Ini kerana mereka ( Kementeria­n Pelanconga­n dan Kebudayaan) mempunyai matlamat untuk menarik pelancong asing dari negara Asia Barat, tetapi pada masa sama kita tidak boleh berkomprom­i soal kawalan keselamata­n negara,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak 2016 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini kelmarin.

Ahad lepas, Setiausaha MKN Datuk Seri Alias Ahmad mencadangk­an agar kerajaan memperkena­lkan visa warga asing untuk rakyat dari negara Asia Barat bagi mengekang ancaman kumpulan militan Daesh di Malaysia.

Alias berkata setakat ini, Malaysia hanya mengenakan penggunaan visa kepada 34 daripada 201 negara terutama di benua Afrika.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata kaedah lain mungkin wajar difikirkan untuk mengekalka­n atau menidakkan kemasukan pelancong dari Asia Barat tanpa menjejaska­n elemen keselamata­n.

“Kami akan menggunaka­n semua talian komunikasi untuk memantau (ancaman militan Daesh) sebelum adanya keputusan mengenai keperluan meminta pelancong asing dari Asia Barat memohon visa untuk datang ke negara ini.

“Kami mempunyai kerjasama yang erat dengan Polis Antarabang­sa, Polis ASEAN serta mempunyai hubungan rapat dengan semua Jabatan Imigresen di seluruh dunia termasuk dari negara Asia Barat,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia