Utusan Borneo (Sabah)

Rasuah: Bekas pegawai polis dipenjara 12 tahun, denda RM105,000

-

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai polis dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM21,000 pada tahun 2008 dan 2009.

Nik Azainoon Nik Aziz, 54, yang berpangkat DSP dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, ketika perbuatan itu dilakukan, bagaimanap­un hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun mulai kelmarin setelah mahkamah memerintah­kan ketiga-tiga hukuman berjalan serentak.

Hakim Asmadi Husin turut mengenakan denda RM105,000 ke atas tertuduh dan memerintah­kan lelaki itu dipenjara tambahan 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Rakan subahatnya, Roslan Jali, 49, pula dipenjara lapan tahun setelah didapati bersalah terhadap dua pertuduhan bersetuju menerima suapan RM11,000 bagi pihak Nik Azainoon, pada 2008 dan 2009.

Ros l anyang bekerja sebagai juruelektr­ik turut didenda RM55,000 dan diperintah menjalani hukuman penjara tambahan selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Roslan bagaimanap­un akan menjalani hukuman penjara selama empat tahun setelah mahkamah memerintah­kan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula kelmarin.

Terdahulu, keduadua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya meringanka­n hukuman ke atas mereka atas alasan terpaksa menanggung keluarga dan Nik Azainoon turut menyatakan dia tidak mempunyai pendapatan sejak dipecat daripada pasukan polis.

Asmadi dalam pada itu membenarka­n permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhk­an pelaksanaa­n hukuman penjara sehingga selesai proses rayuan, namun menaikkan jumlah ikat jamin ke atas mereka daripada RM7,000 bagi Roslan dan RM10,000 bagi Nik Azainoon kepada RM50,000 setiap seorang.

Nik Azainoon dan Roslan juga diperintah membayar kesemua denda yang dikenakan ke atas mereka selewat-lewatnya hari ini selain melaporkan diri di Pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Shah Alam setiap awal bulan.

Nik Azainoon didapati bersalah bersetuju menerima suapan daripada seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad, Che Ayub Senik, 61, sebagai dorongan untuk menghilang­kan rekod kesalahan jenayah Che Ayub yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan ‘Black Money’.

Bekas pegawai polis itu melakukan perbuatan tersebut sebanyak dua kali melibatkan jumlah RM10,000 dan RM4,000 pada 9.30 malam di Restoran Starwalk Cafe & Bakery, Jalan Dagang B/3A, Taman Dagang, Ampang, dekat sini antara 5 hingga 30 Nov 2008.

Pada 4 Feb 2009 kira-kira 6.10 petang pula, dia didapati telah bersubahat dengan Roslan untuk menyetuju terima suapan berjumlah RM7,000 daripada Che Ayub di Restoran A&W, Lorong Sultan, Petaling Jaya, bagi tujuan sama.

Roslan pula didapati bersalah menyetujui terima wang suapan berjumlah RM4,000 bagi pihak Nik Azainoon kira-kira pukul 9.30 malam di Restoran Starwalk Cafe & Bakery, Jalan Dagang B/3A, Taman Dagang, Ampang, antara 6 hingga 30 Nov 2008.

Perbuatan kedua pula dilakukan pada 4 Feb 2009 di Restoran A&W, Lorong Sultan, Petaling Jaya, dekat sini melibatkan jumlah RM7,000 dengan tujuan sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sebanyak sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraa­n yang dikendalik­an Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Sukri Seman.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia