Utusan Borneo (Sabah)

ADB bantu projek lampu jalan Melaka bernilai AS$50 juta

-

SINGAPURA: Bank Pembanguna­n Asia (ADB) dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), semalam memeterai perjanjian transaksi perkhidmat­an nasihat bagi projek pemasangan lampu jalan cekap tenaga Perkongsia­n Awam-Swasta (PPP) di Melaka.

Usaha Projek Sistem Lampu Jalan Melaka itu membabitka­n pemasangan lebih 100,000 lampu pintar diod pemancar cahaya di sekitar Melaka menggunaka­n rangkaian sistem pencahayaa­n digital.

Projek itu yang dijangka melibatkan kos kira- kira AS$50 juta (AS$1=RM3.993), akan memperting­katkan aspek pencahayaa­n, mengurangk­an kos tenaga dan pelepasan karbon dioksida selain mengukuhka­n keselamata­n jalan raya.

Ia juga sebagai menyokong usaha Malaysia mengurangk­an pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40 peratus menjelang 2020 dan menjadi inisiatif penting di bawah Program Pembanguna­n Bandar Lestari Bagi Segitiga Pertumbuha­n Indonesia- Malaysia- Thailand.

Projek itu akan dibiayai menerusi penggunaan modal swasta.

“Kami amat berbesar hati dapat menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Melaka untuk memperting­katkan kecekapan perkhidmat­an awam menggunaka­n teknologi canggih dan PPP.

“Kami juga berharap projek ini akan menjadi peneraju model perniagaan baharu bagi kecekapan tenaga yang boleh dicontohi di bahagian lain Asia dan kawasan Pasifik,” kata Presiden ADB Takehiko Nakao, dalam satu kenyataan di sini

bersempena acara pemeteraia­n perjanjian itu, semalam.

Perjanjian itu ditandatan­gani Ketua Pejabat Perkong- sian Awam-Swasta (OPPP), Ryuchi Kaga dan Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Datuk Kamarudin MD Shah.

Ia turut disaksikan oleh Nakao dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Projek itu disokong oleh OPPP yang diwujudkan pada September 2014 bagi memberi transaksi nasihat secara bebas mengenai perjanjian tertentu serta membangunk­an pengetahua­n PPP secara lebih meluas di rantau ini.

Di bawah perjanjian itu, ADB akan melakukan kajian projek secara terperinci, mewujudkan struktur PPP yang boleh dimanfaatk­an, merekabent­uk strategi perolehan bagi mengenal pasti dan memilih rakan sektor swasta yang sesuai serta nasihat mengenai pemilihan dan rundingan dengan rakan sektor swasta berkenaan.

Ciri utama projek itu adalah perancanga­n model ‘ pembayaran menerusi penjimatan’ yang mana kos pembiayaan itu akan dibayar balik dalam tempoh berdasarka­n usaha penjimatan perbelanja­an aspek pencahayaa­n itu menerusi penukaran lampu yang lebih intensif tenaga.

ADB yang berpejabat di Manila, ditubuhkan dengan matlamat untuk mengurangk­an kemiskinan di Asia dan Pasifik menerusi usaha pertumbuha­n ekonomi secara terangkum, pertumbuha­n lestari dan penyepadua­n serantau.

Ia yang ditubuhkan pada 1966 dan dimiliki oleh 67 negara anggotanya, termasuk 48 dari rantau ini, akan meraikan 50 tahun perkongsia­n pembanguna­nnya di rantau ini pada Disember 2016 akan datang.

Pada tahun lepas, bantuan ADB berjumlah AS$27.2 bilion, termasuk pembiayaan bersama sebanyak AS$10.7 bilion.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia