Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan ambil langkah tangani isu pembuangan sisa elektronik

-

SIBU:Kerajaan mengambil langkah bagi menangani isu pembuangan sisa elektronik ( e-waste) di negara ini untuk menjaga alam sekitar daripada pencemaran sisa berkenaan.

Ini berikutan jumlah sisa elektronik yang dilupuskan di negara ini tahun lalu mencecah hampir satu juta tan metrik.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia mempunyai sebuah mesin dengan teknologi terkini bagi mengurang, mengguna serta mengitar semula sisa elektronik terbabit.

“Mesin ini diperkenal­kan oleh sebuah syarikat dari Jerman kepada sebuah syarikat tempatan iaitu Shan Poornam Metals Sdn Bhd berpotensi mengurangk­an masalah pembuangan sisa elektronik sewenang-wenangnya.

“Kita tidak dapat bayangkan pencemaran disebabkan pembuangan sisa elektronik ini terhadap alam sekitar,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Pada 2011, sejumlah 695,122 tan metrik sisa elektronik dibuang di negara ini dan jumlah itu terus meningkat setiap tahun. Pada 2012 (740,585), 2013 (797,879T), 2014 (865,384) dan 2015 (926,986).

Ahli Parlimen Santubong itu memberitah­u, Shan Poornam Metals Sdn Bhd mempunyai pusat pengumpula­n setiap negeri termasuk di Kuching.

Katanya, syarikat terlibat dengan perniagaan kitar semula sejak 40 tahun lalu dan kini semakin berkembang.

Pembuangan sisa elektronik termaktub dalam Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Sisa Bahan Buangan Berjadual) 2005.

Mereka yang melangggar peraturan boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 bagi setiap kesalahan.

“Namun, persoalan kini berapa banyak dikenakan kompaun kerana membuang cerek elektrik, periuk nasi, peti sejuk, telefon bimbit ke tapak pelupusan atau tong sampah.

“Semua sedar masalah ini namun kesedaran dan pemahaman orang ramai masih rendah,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia