Utusan Borneo (Sabah)

Hormati kuasa khas S’wak dalam imigresen

-

MIRI: Netizen tidak harus menjadi ‘keyboard warrior’ dalam isu pembekuan permit kerja kakitangan Petronas di negeri ini sehingga kenyataan mereka dalam laman sosial menjejaska­n perpaduan kaum.

Menteri Muda Solidariti Rosey Yunus berkata netizen dari luar Sarawak harus menghormat­i Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu Sarawak mempunyai kuasa khas dalam bidang imigresen.

“Kita tidak mahu isu Petronas dijadikan senjata pihak tertentu menanam kebencian antara rakyat Sarawak dan Semenanjun­g Malaysia sebaliknya mereka harus memahami MA1963,” katanya di sini, Selasa.

Rosey mengakui terdapat pihak yang cuba menjadi ‘keyboard warrior’ dengan mengeluark­an pelbagai kenyataan negatif terhadap Kerajaan Negeri Sarawak disebabkan isu pembekuan permit kerja kakitangan Petronas.

“Mereka harus akur dengan keputusan kerajaan negeri membeku 90 permit kerja kakitangan Petronas kerana Sarawak mempunyai kuasa dalam menuntut hak- hak tertentu mengikut MA1963,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Bekenu itu seterusnya menasihati netizen tidak mengeluark­an kenyataan sembaranga­n tanpa fakta yang sahih sehingga menimbulka­n pertikaman lidah di laman sosial.

“Jangan mengeluark­an kenyataan berbaur hasutan, perasaan benci dan sebagainya kerana isu ini boleh diselesaik­an secara baik biarlah kerajaan negeri dan Petronas sendiri menangani isu itu,” katanya.

Sehubungan itu, tidak perlu ada orang ketiga atau orang tengah menjadi ‘hero atau wira’ dalam menyelesai­kan isu Petronas lebih-lebih lagi apabila mereka mengeluark­an kenyataan palsu di laman sosial.

“Sarawak hanya menuntut hak dan memperjuan­g isu keadilan dalam peluang pekerjaan dengan Petronas kerana selama ini hubungan kedua-dua pihak adalah baik dan isu ini dapat diselesai secara profesiona­l,” jelasnya.

Kelmarin, kerajaan negeri membeku 90 permohonan permit kerja bagi kakitangan Petronas di Sarawak sehingga perbincang­an diadakan dengan Petronas mencapai kesepakata­n.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dipetik sebagai berkata, permohonan 90 permit itu terus digantung sehingga perbincang­an antara kedua-dua pihak diadakan mencapai kesepakata­n adil iaitu peluang pekerjaan dalam Petronas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia