Konsep SSO akan dibentang
Dalam Mesyuarat PKS Kebangsaan pada November
KOTA KINABALU: Melihat impak Perkongsian Perkhidmatan dan Sumber Luar (SSO) akan membantu memperkasakan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerajaan mencadangkan konsep SSO berkenaan dibentangkan dalam Mesyuarat Pembangunan PKS Kebangsaan pada November ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Sri Mustapa Muhamed mencadangkan agar konsep SSO itu dibentangkan di peringkat kebangsaan agar ia dapat bergerak seiring dengan agenda kerajaan untuk memperkasakan pembangunan PKS di Sabah.
Beliau percaya dengan pelaksanaan SSO di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) itu, ia akan mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada anak-anak tempatan di negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Sesi Taklimat Umum bersama PKS Negeri Sabah, di Auditorium Kompleks Kerajaan Persekutuan, di sini kelmarin.
Projek pembangunan SSO melibatkan usahasama antara KKIP Property Sdn Bhd dan Softwise Sdn Bhd dalam menyediakan pusat rangkaian bekalan makanan bersepadu.
Pembinaan pusat yang membabitkan pelaburan kirakira RM30 juta itu akan dilaksana di kawasan seluas lima ekar di KKIP.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan Portal Maklumat Pendaftaran Perniagaan dan Pelesenan (MalaysiaBiz) yang dijangka siap pada awal 2017.
Portal ini akan mengandungi 1,174 aktiviti perniagaan di Sabah.
Dengan adanya portal ini, ia dilihat akan memudahkan lagi pendaftaran baru pengusaha PKS serta memudahkan proses memperbaharui pendaftaran dan lesen perniagaan pengusaha sedia ada.
Setakat 2010, pengusaha PKS di Sabah kira-kira 40, 000 dan jumlah itu dipercayai meningkat kepada 60, 000 pengusaha pada tahun ini.
Kemudian ditanya mengenai cabaran yang dihadapi PKS di negeri ini yang berdepan dengan kos yang tinggi, Mustapa berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk merapatkan jurang harga antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
Katanya, penambahbaikan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, penaiktarafan pelabuhan dan perkembangan ekonomi di Sabah, ia dilihat mampu menarik penghantaran barangan terus ke pelabuhan di negeri ini dalam jangka masa panjang.
Beliau juga menyarankan pengusaha PKS agar menggunakan aplikasi teknologi dan inovasi dalam operasi perniagaan masingmasing supaya produk yang dihasilkan boleh dieksport ke luar negara.
Dalam perkembangan lain, beliau juga memberi penerangan ringkas mengenai Rang Undang-Undang PKS Kebangsaan 2016 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini.
“Melalui Akta PKS, rangka kerja pembangunan PKS sedia ada dapat diperkukuhkan bagi membolehkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKS mampu mencapai 41 peratus menjelang 2020,” katanya.
Ketika ini PK S menyumbang sebanyak 35 peratus kepada KDNK negara.
Turut hadir dalam sesi taklimat itu adalah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Seri Panglima Raymond Tan.