Jangan utamakan kepentingan diri
Ambil iktibar daripada kekalahan Umno di Selangor
KOTA BELUD: Para ahli Umno termasuk tiga sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Kota Belud perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap parti di Selangor.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Noh Omar berkata Umno Selangor dahulu cukup kuat apabila memenangi 22 kerusi Parlimen dan 54 kerusi Dewan Undangan Negeri, hanya dua kerusi dimenangi pembangkang pada PRU 2004.
“Tetapi, inilah pengajaran dalam politik. Kita jangan rasa selesa, lupa kepada rakyat, berebut projek, mengutamakan kepentingan diri kerana ia akan menghancurkan parti.
“Ambillah iktibar daripada perkara ini, walaupun Selangor menang besar pada tahun itu, namun pada 2008 akhirnya kita kecundang di mana daripada 22 kerusi Parlimen kita hanya menang lima kerusi, dan daripada 56 kerusi DUN Umno hanya menang lima kerusi yang akhirnya Umno jadi pembangkang di Selangor.
“Justeru, jangan sesekali merasa selesa, terlalu ingin merebut kuasa, jangan bila ada kuasa kita berpecah belah kerana kekuatan Umno adalah terletak pada pegangan perpaduannya,” katanya ketika merasmikan persidangan serentak pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian P169 Kota Belud di Dewan Tun Said, pada Sabtu.
Tambah beliau, sesiapa pun boleh menjadi calon. Asal sahaja calon itu berdiri atas nama Barisan Nasional dia mesti disokong, pastikan calon itu menang.
Mengulas wujudnya gerakan menarik sokongan parti baharu di Kota Belud, beliau berkata tindakan itu silap memilih tempat kerana suasana perpaduan dan kekuatan Umno di daerah ini berbeza.
Noh Omar berharap ahli Umno terus bersama kepimpi- nan Umno Sabah kerana perjuangan utama parti bukan pada diri individu tetapi atas dasar perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ketua Bahagian Umno Kota Belud dan Bendahari Agung Umno Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak; Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Sabah merangkap Naib Ketua dan Setiausaha Umno Bahagian Kota Belud Datuk Japlin Akim; Pembantu Menteri Pertanian dan Makanan merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Belud Datuk Musbah Jamli; dan Adun Kadamaian Jerremy Ukoh Malajad.