Premis ditutup jika abai kebersihan Pengusaha dapur asrama dan kantin sekolah akan dikompaun
PUTRAJAYA: Pengusaha dapur asrama dan kantin sekolah akan dikompaun atau premis ditutup sekiranya tidak mematuhi peraturan kebersihan seperti ditetapkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata selain pemeriksaan rutin, pihaknya juga telah meningkatkan pemeriksaan ke atas kantin dan dapur asrama sekolah serta institusi pendidikan bagi menangani kekerapan kejadian kes keracunan makanan kebelakangan ini.
Katanya untuk tempoh setahun hingga Jun lalu, sebanyak 30,314 pemeriksaan rutin telah dijalankan meliputi 24,280 kantin sekolah dan kantin institusi pendidikan, termasuk 6,034 dapur asrama di seluruh negara.
Dari pemeriksaan itu, sebanyak 261 arahan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan, katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Noor Hisham berkata melalui Operasi Premis Bersih pula, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,063 premis sehingga 7 Jun lepas membabitkan 757 kantin sekolah dan 306 dapur asrama sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata sebanyak 18 atau 2.1 peratus arahan penutupan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 juga telah dikeluarkan manakala 141 notis kesalahan mengikut Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kepada pengusaha kantin sekolah atau dapur asrama sekolah yang gagal mematuhi PeraturanPeraturan Kebersihan Makanan 2009.
Di bawah PeraturanPeraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan diwajibkan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat suntikan vaksin anti tifoid, katanya.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham memaklumkan siasatan awal ke atas kes keracunan makanan melibatkan 70 pelajar Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) Lahat, Perak pada Khamis lalu mendapati kari telur yang disediakan dari dapur asrama sekolah itu mengandungi bakteria Salmonella spp.
Beliau berkata bakteria sama turut disyaki menjadi punca 12 pelajar Sekolah Sukan Malaysia Terengganu mengalami keracunan makanan selepas memakan ayam masak merah yang dihidangkan sebagai menu makan malam oleh dapur asrama sekolah itu, Rabu lepas.
Untuk siasatan lanjut, kedua-dua premis ini juga telah diarahkan ditutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, katanya.-Bernama