Standards Malaysia capai pelbagai kejayaan dalam dua dekad
KUALA LUMPUR: Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) mencatat pelbagai kejayaan dalam aktiviti penstandardan dan akreditasi yang dapat menjadikan rakyat Malaysia peka terhadap kualiti untuk kehidupan yang lebih baik.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata sejak dua dekad, Standards Malaysia terus menyumbang terhadap infrastruktur berkualiti dengan membangunkan standard dalam pelbagai sektor.
“Jabatan juga aktif menyebarluaskan penggunaan standard melalui Program Pematuhan Standard. Standards Malaysia juga menyediakan perkhidmatan akreditasi kepada industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Standards Malaysia, yang menyambut ulang tahun ke20 semalam, telah berjaya membangunkan lebih 6,000 standard Malaysia dengan cemerlang dalam 25 sektor yang berbeza, termasuk halal dan pertanian.
Ia juga telah memberi akreditasi kepada lebih 650 makmal, 29 badan pensijilan dan 11 badan-badan pemeriksaan di seluruh negara.
Madius berkata peranan Standards Malaysia juga diberi perhatian khusus oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
“Standards Malaysia menerajui Komponen Standard Inisiatif Pembaharuan Strategik - Standard Persaingan Liberalisasi ( SRI- CSL) di bawah Program Transformasi Ekonomi,” katanya.
Beliau berkata dengan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, peranan Standards Malaysia juga semakin penting.
“Seperti yang semua tahu, bagi industri mendapat akses pasaran yang lebih luas, terutama perusahaan kecil dan sederhana, pematuhan standards merupakan satu keperluan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Standards Malaysia Datuk Fadilah Baharin berkata jabatan telah berkembang dan akan terus mengubah landskap perniagaan negara dengan mewujudkan dan menginsankan budaya kualiti dalam kalangan pengeluar dan pengguna.
“Kami telah membangunkan standard untuk membantu syarikat-syarikat Malaysia menggunapakainya untuk pemasaran produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih baik di peringkat antarabangsa. — Bernama