Utusan Borneo (Sabah)

Warga Indonesia hilang RM10,000 selepas dipukau

-

KUCHING: Hasrat seorang warga Indonesia untuk pulang ke kampung halaman terpaksa dilupakan apabila wang simpanan berjumlah RM10,000 miliknya dikebas sekumpulan lelaki pada Sabtu lepas.

Mangsa yang ketika itu sedang menunggu bas ekspres ke Pontianak dihampiri empat lelaki di mana dua daripada mereka adalah warga Indonesia.

Insiden itu disifatkan berlaku begitu pantas apabila mangsa kemudian menyedari wang simpanan hasil bekerja di sebuah ladang di Miri lesap.

Lelaki dalam lingkungan usia 40-an itu turut mendakwa dirinya dipukau kerana gagal mengingati apa yang berlaku melainkan dihampiri kumpulan yang menawar untuk menjual cincin ‘batu delima’ yang ternyata palsu.

Dia kemudian mendapatka­n bantuan pemandu teksi untuk menghantar­nya ke Konsulat Indonesia bagi meminta pertolonga­n.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan salah seorang suspek warga Indonesia di sempadan Tebedu.

Polis daripada Ibu Pejabat PolisKonti­njen(IPK) Sarawak kemudian membawa suspek ke One Stop Centre di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching tengah hari Ahad untuk membantu siasatan.

Usaha mengesan tiga suspek lain sedang giat dilakukan.

Dalam kes berasingan, seorang warga emas cedera sebelum dirompak dalam satu insiden tidak jauh dari Kampung Pandan di Lundu, pagi kelmarin.

Dalam insiden itu, suspek yang dikatakan pekerja anak lelaki mangsa, pergi ke rumah tersebut untuk menuntut gaji sebelum pertengkar­an berlaku.

Suspek yang dikatakan membawa senjata tajam kemudian melarikan wang ratusan ringgit.

Laporan polis telah dibuat dan kes sedang disiasat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia