Utusan Borneo (Sabah)

Lapan pesalah trafik didenda atas pelbagai kesalahan

-

KOTA KINABALU: Lapan pesalah trafik antaranya seorang wanita, masingmasi­ng didenda sebanyak RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin, atas kesalahan memandu tanpa lesen.

Majistret Jessica Ombou Kakyun mengenakan hukuman terbabit ke atas Abd Gapur Ronie, Amy Viverlu Chau, Mudim Hassan, Dilpin Libaning, Jeffryzan Jamil, Saharul Hisham, Chiew Chung Ken dan Jerry Stanly, selepas mengaku bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26 ( 1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987, yang boleh didenda antara RM300 hingga RM2,000, atau penjara sehingga tempoh tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Jessica juga mengatakan, perbuatan mereka boleh membahayak­an nyawa pengguna jalan raya lain.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintah­kan setiap tertuduh dikenakan penjara selama tempoh seminggu.

Sementara itu, empat lelaki masing-masing didenda atas kesalahan yang berlainan.

Mahadi Mis, Mohd Jamri Basir, Raflee Rosman dan Arnaldo Reay David masingmasi­ng dikenakan denda sebanyak RM900 atau penjara tujuh hari, selepas mengaku bersalah memandu kenderaan tanpa lesen.

Manakala Mohd Jamri, Raflee dan Reay sekali lagi didenda sebanyak RM400 atau penjara tujuh hari kerana tidak memiliki polisi insurans bagi pihak ketiga.

Dalam pada itu, Mahadi juga didenda sebanyak RM400 atau penjara tujuh hari, selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya.

Dalam kes berasingan, tiga lelaki tempatan turut didenda sebanyak RM1,100 atau penjara tujuh hari oleh mahkamah, atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Aried Patrick, Gilbert Lai Ket Fui dan Moses Marcelinus dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu pada 16 Julai tahun ini di Jalan Bundusan, di sini.

Semua pendakwaan terbabit dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Trafik Insp Hanif Mamyudi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia