Utusan Borneo (Sabah)

Format KBAT dianggap beban murid, guru

-

MIRI: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR) 2016 yang diadakan mengguna format baharu dan mempunyai unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi ( KBAT) mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) Sekolah Kebangsaan ( SK) Senadin Henry Jugah menyatakan kurang bersetuju dengan usaha Kementeria­n Pendidikan Malaysia ( KPM) yang dianggapny­a menambah beban kepada pelbagai pihak.

“Bukan sahaja murid sekolah rendah, namun ia turut membebanka­n ibu bapa dan guru atas pelaksanaa­nnya,” katanya kepada Utusan Borneo semalam ketika diminta mengulas mengenai penerapan KBAT dalam UPSR 2016 bermula pada Khamis dengan kertas Bahasa Tamil dan Bahasa Cina.

Menurutnya, secara tidak langsung penerapan berkenaan memerlukan pembelajar­an lebih daripada sebelum ini dan memerlukan pelbagai penambahan seperti masa, kos dan yang berkaitan.

Tambahan, murid tahap sekolah rendah belum lagi mencapai tahap kematangan diperlukan bagi mencerna pemikiran secara kritikal dan mendalam.

Bagaimanap­un, Henry memuji penggunaan dwibahasa yang dianggap beliau sebagai persediaan khususnya dalam bahasa Inggeris untuk ke alam sekolah menengah. Sementara itu, pihak Gabungan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Miri-Limbang (GLPSCML) juga menyatakan ketidakset­ujuan mereka dengan menyifatka­n KBAT terlalu berat bagi murid.

“Di sekolah rendah murid seharusnya diajar perkara asas sahaja bukan pemikiran secara kritikal,” kata Pengerusi GLPSCML Lawrence Kong.

Format baharu berkenaan katanya, perlu pemikiran kritikal dan di luar kotak yang bersesuaia­n untuk pelajar sekolah menengah.

Pada Khamis, UPSR bermula dengan kertas Bahasa Cina dan Tamil sementara kertas seterusnya adalah pada Isnin (5 September) iaitu untuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (6 September) diikuti Matematik (7 September) serta Sains (8 September).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia