Utusan Borneo (Sabah)

Kembali daripada persaraan, Messi bantu kemenangan Argentina

-

MENDOZA: Lionel Messi menandakan kepulangan­nya dari persaraan antarabang­sa yang singkat dengan gol tunggal perlawanan apabila Argentina yang bermain dengan 10 pemain menewaskan Uruguay 1-0 untuk mencatatka­n kemenangan kelayakan yang amat penting ke Piala Dunia 2018 kelmarin.

Messi, yang mengumumka­n penamatan kariernya pada peringkat antarabang­sa secara dramatik pada Jun lalu ekoran kekalahan Argentina kepada Chile dalam perlawanan akhir Copa America Centenario, menjaringk­an gol menerusi satu rembatan yang terkena pemain lain pada minit ke-42 untuk mencetuska­n suasana yang riuh di Estadio Malvinas, Mendoza.

Kemenangan itu – yang pertama di bawah kendalian jurulatih baharu Edgardo Bauza – melonjak Argentina ke tempat pertama dalam kempen kelayakan ‘round-robin’ maraton di Amerika Selatan dengan 14 mata selepas tujuh perlawanan.

Namun Argentina dipaksa bekerja keras untuk mendapatka­n kemenangan itu, bermain pada babak kedua dengan hanya 10 pemain sahaja selepas penyerang muda Juventus Paulo Dybala dibuang dari padang sejurus sebelum waktu rehat setelah dilayangka­n kad kuning kedua. Dybala menangis ketika diiringi keluar dari padang ekoran penyingkir­an itu.

Uruguay telah menamakan kesebelasa­n utama yang kelihatan kuat, dengan rakan sepasukan Messi di kelab Barcelona, Luis Suarez, yang menerajui serangan pasukan pelawat bersama Edinson Cavani. Kapten Diego Godin turut kembali ke bahagian tengah pertahanan Uruguay untuk memberikan kemantapan yang meyakinkan kepada pemenang Piala Dunia sebanyak dua kali itu.

Namun dengan kepulangan pemain azimat Messi ke dalam pasukan, Argentina lebih menguasai perlawanan dalam separuh masa pertama.

Angel Di Maria mencipta peluang pertama selepas 32 minit, memenangi bola dengan bijak di bahagian tengah sebelum melorong bola kepada Dybala yang mara ke arah gawang.

Pemain berusia 22 tahun itu merembat bola rendah yang kencang dan terkena bahagian bawah tiang untuk melantun ke belakang penjaga gol Uruguay Fernando Muslera untuk tendangan sudut.

Di seberang padang, satu-satunya peluang baik Uruguay diperolehi pada minit ke-34 apabila tendangan percuma Suarez dari jarak jauh menewaskan benteng Argentina tetapi dikutip dengan kemas oleh Sergio Romero.

Sejurus sebelum waktu rehat, Messi bertindak. Kawalan bola yang cantik membawanya ke tepi kotak penalti, dan rembatan rendahnya yang kuat terkena Jose Gimenez untuk mengeliruk­an Muslera di tiang dekat. - AFP

 ??  ?? PEMAIN pasukan Argentina mengerumun­i Lionel Messi selepas pemain itu menjaringk­an gol tunggal dan kemenangan untuk Argentina menewaskan Uruguay 1-0 di Mendoza. - AFP
PEMAIN pasukan Argentina mengerumun­i Lionel Messi selepas pemain itu menjaringk­an gol tunggal dan kemenangan untuk Argentina menewaskan Uruguay 1-0 di Mendoza. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia