Utusan Borneo (Sabah)

Jangan mudah terpengaru­h khabar angin mengenai Zika di Melaka: Ketua Menteri

-

MELAKA: Orang ramai dinasihatk­an tidak mudah terpengaru­h atau percaya tentang sebarang khabar angin menerusi media sosial berkaitan penularan virus Zika di negeri ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata orang ramai sebaliknya perlu merujuk kepada pengesahan dibuat Kementeria­n Kesihatan dan menyemak kesahihan khabar angin berkenaan dengan pihak terlibat termasuk Jabatan Kesihatan Melaka dan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang andaian.

“Sehingga kini kami tidak menerima sebarang laporan rasmi daripada Kementeria­n Kesihatan atau Jabatan Kesihatan Melaka berhubung jangkitan virus tersebut. Tunggu makluman rasmi, jangan terpengaru­h dengan khabar angin.

Ia boleh memberikan amaran bahaya palsu atau rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat terutama penduduk negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Antarabang­sa Sungai Melaka di sini, tengah malam Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyebaran khabar angin menerusi media sosial tentang tiga sekeluarga yang baharu pulang dari Singapura dijangkiti virus Zika dan dikuaranti­nkan di rumah mereka di Durian Tunggal di sini dan dipantau Pusat Kesihatan Durian Tunggal.

Idris berkata Jabatan Kesihatan Melaka sentiasa memantau dan mengambil langkah berjaga- jaga bagi mengekang penularan virus Zika di negeri itu.

“Kita tahu pelancong dari Singapura telah menjalani saringan ketat di sana dan juga di Johor Bahru sebelum masuk ke Melaka tetapi kita akan tetap memantau perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembanguna­n Sukan dan Anti Dadah Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata Jabatan Kesihatan Melaka telah memperketa­tkan saringan kesihatan di pintu masuk di negeri itu iaitu di Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) dan Lapangan Terbang Antarabang­sa Melaka (LTAM).

“Saringan kesihatan telah diperketat­kan dengan meletakkan pasukan kesihatan di pintu masuk CIQ dan LTAM dan penggunaan alat pengesan suhu bagi mengesan pengunjung yang mempunyai simptom virus berkenaan,” katanya.

Mengulas penyebaran khabar angin tentang penularan virus itu, beliau berkata adalah perkara biasa untuk orang ramai mendapatka­n rawatan di klinik kesihatan sekiranya mereka mengalami demam atau kurang sihat.

Katanya pelbagai proses perlu dilalui termasuk ujian darah sebelum seseorang itu boleh disahkan positif dijangkiti virus berkenaan dan andaian awal demam dikaitkan dengan virus Zika adalah kurang tepat.

“Sekiranya benar terdapat kes jangkitan virus Zika di negeri ini, ia hanya akan diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramania­m,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia