Utusan Borneo (Sabah)

Tabung Haji nasihat jemaah ikut jadual melontar elak sebarang insiden

-

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati semua jemaah haji Malaysia agar mematuhi segala arahan termasuk jadual melontar di Jamrat semasa operasi Masya’ir bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ini kerana TH dan pihak Muassasah Asia Tenggara telah mengatur jadual sesuai bagi semua jemaah untuk berbuat demikian.

“Ingin saya nasihatkan agar jemaah haji mengikut sepenuhnya jadual yang telah kita aturkan untuk mereka seperti bila masanya untuk pergi melontar di Jamrat kerana kita lebih mengutamak­an soalsoal keselamata­n.

“Jika ada yang mengambil tindakan tersendiri, kita bimbang mereka akan terperangk­ap dalam kesesakan orang ramai yang akhirnya nanti boleh menimbulka­n masalah yang lain,” katanya kepada pemberita semasa memberikan taklimat mengenai Operasi Masya’ir kepada media Malaysia di Ibu Pejabat TH Makkah di Hotel Abraj Janadriyah di sini pada Jumaat.

Operasi Masya’ir itu membabitka­n wukuf di Arafah bermula pada 9 Zulhijjah iaitu pada 11 Sept ini yang kemudianny­a bermalam di Muzdalifah, Mina dan seterusnya melontar di Jamrat yang berakhir pada 13 Zulhijjah.

Operasi itu adalah kemuncak kepada ibadat haji dan dijangkaka­n hampir dua juta jemaah haji seluruh dunia akan berada di Arafah pada masa itu.

Pada musim haji ini, tempat melontar di Jamrat untuk jemaah haji negara telah ditetapkan di kawasan tingkat tiga iaitu sama seperti tahuntahun sebelum ini.

Syed Saleh juga turut menasihatk­an agar jemaah haji agar tidak pulang ke Makkah secara bersendiri­an sebaik tamat operasi Masya’ir itu nanti bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Sebelum ini, ada jemaah yang pulang ke Makkah secara bersendiri­an dengan memberikan pelbagai alasan yang akhirnya menyulitka­n mereka seperti tersasar dan keletihan kerana terpaksa berjalan dalam jarak yang jauh,” katanya.

Katanya mereka juga boleh terdedah kepada isu- isu keselamata­n yang lain kerana bertembung dengan ribuan jemaah haji luar negara.

Sementara itu, buat pertama kalinya TH memperkena­lkan aplikasi khas bagi memantau pergerakan bas yang membawa jemaah haji pada hari wukuf nanti. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia