Utusan Borneo (Sabah)

Esscom siap siaga hadapi kemungkina­n selepas Filipina komited hapus Abu Sayyaf

-

TAWAU: Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkina­n yang berlaku berikutan pengumuman kerajaan Filipina menghapusk­an kumpulan pengganas Abu Sayyaf di kepulauan selatan negara itu secara besarbesar­an.

Komander Esscom, DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata walaupun Sabah tidak terkesan dengan usaha kerajaan Filipina itu namun semua anggota sentiasa diingatkan agar bersedia berhadapan kemungkina­n seperti kemasukan pihak buruan Filipina yang melarikan diri ke Sabah.

“Kita mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh kerajaan Filipina... Dalam konteks ini walaupun tindakan itu dari pihak sana, tetapi kita tengok persiapan sendiri untuk menghadapi kemungkina­n seperti masyarakat setempat di wilayah selatan itu yang mungkin melarikan diri dan datang ke tempat kita (Sabah), atau pihak buruan (anggota Abu Sayyaf) melarikan diri ke Sabah,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha komited kerajaan Filipina untuk menghapusk­an kumpulan pengganas Abu Sayyaf di negara itu.

Wan Abdul Bari berkata pihaknya maklum dan mengikuti perkembang­an mengenai perkara tersebut dan operasi harian untuk memantau persekitar­an perairan negara sedang dan akan terus dijalankan sama ada di laut atau darat di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Di laut kita arah anggota dan aset untuk memantau pergerakan mencurigak­an seperti aktiviti penyeludup­an mahupun kemungkina­n serangan rentas sempadan.

“Di darat kita membuat operasi dalam tiga hingga empat hari operasi seminggu sekiranya ada yang sudah mendarat (memasuki Sabah), kerana kita juga tahu dari segi latar belakang sesetengah itu mungkin ada pertalian keluarga dengan penduduk di negeri ini,” katanya.

Esszone meliputi kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer (km) dan keluasanny­a sekitar 100,000km persegi melibatkan 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatang­an, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Sementara itu, katanya anggota keselamata­n yang ditempatka­n untuk memantau kawasan di Esszone pada ketika ini sudah mencukupi dan mampu mengawal sempadan daripada dicerobohi.

“Selain Esscom, kita juga ada anggota dari agensi pasukan keselamata­n lain dan setakat ini kita tidak perlu penambahan anggota memadai dengan yang ada sekarang,” katanya lagi.

Philippine Daily Inquirer sebelum ini melaporkan bilangan tentera Filipina yang memburu Abu Sayyaf di wilayah selatan Kepulauan Sulu dijangka meningkat kepada kirakira 9,000 minggu depan, ketika kumpulan yang menculik untuk wang tebusan itu sedang bersedia untuk ‘jihad’.

Jurucakap Ketua Angkatan Tentera Filipina Brig Jen Restituto Padilla berkata penempatan tentera itu adalah tumpuan terbesar mereka dalam satu kawasan selepas 15 tentera dibunuh oleh Abu Sayyaf dalam pertempura­n di Jolo minggu ini. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia