Utusan Borneo (Sabah)

SAMBUNGAN CERPEN

-

“Iya...aku Azrima, kamu Shakeykah?” Perempuan itu duduk setelah keadaannya sudah pulih semula. Dia melihat wajah Shakey yang sudah banyak berubah. Rambutnya sudah putih dan matanya sedikit hitam. Azrima menahan sedu di dadanya sebaik menyaksika­n bagaimana Shakey sudah menapak dalam perniagaan. Suaminya hanya angguk kepala melihat isterinya berbual-bual mesra dengan pemilik homestay itu.

“Sila duduk di bangku kayu puan, tuan dipersilak­an,” Shakey yang menjemput suami isteri itu mendahului duduk pada bangku kayu yang tersedia.

“Kami sudah dua kali datang sebelum ini. Tapi kami tidak melihat Shakey berada di sini. Dimana agaknya Shakey ketika itu?” Azrima terus meluahkan sambil menjeling suaminya yang setia duduk di sisinya.

“Oo iyakah? Mungkin aku di tempat lain, Maklumlah aktiviti sudah banyak aku lakukan. Jadi mengenal seseorang agak sukar bagiku, kecuali sudah dalam keadaan begini.” Shakey memanggil pembantuny­a lalu mengarahka­n mengambil minuman panas Kopi O.

Lama Shakey menilai betapa perempuan di depannya sudah berjaya dalam karyanya sebagai penulis. Shakey pernah bertembung dengan rakan sepenulisn­ya dan menjelaska­n bahawa Azrima pernah menerima anugerah Penulis Seberang Laut. Dari jauh Shakey mengucapka­n tahniah dan syabas atas kejayaan perempuan itu yang sekelas dengannya di bangku sekolah menengah dulu. ‘Aku hanyalah penjaga homestay.’ Keluh Shakey seakan menyesali keadaannya.

“Sudah hampir tiga puluh tahun kita tidak bertemu. Sejak kita keluar dari alam persekolah­an dan sejak Azrima kahwin terus menjauhkan diri dari kawankawan sesekolah,” Ujar Shakey seolaholah mengimbas kembali masa indah pesekolaha­n mereka. Dia tunduk menahan rasa mengelak pertembung­an bebola mata yang membiru.

“Aku menumpukan bidang lain. Maklumlah penulis sastera kreatif menjadi pilihanku,” Azrima menyambut segelas kopi yang dihulurkan, sementara suaminya segelas dan Shakey juga segelas. Mereka menikmati minuman dengan semburan lembut angin utara. Keadaannya nyaman sepoi bahasa berhiaskan lautan beralun seni sekali.

“Aku pernah menghadiri pesta buku di Kuala Lumpur dan aku terjumpa nama penulis itu Azrima. Lalu aku membelinya. Tahniah Azrima kerana berjaya dalam dunia sastera. Berbandng dengan penceburan­ku hanyalah penjaga dan pengawal homestay. Lihat keadaanku kulit semakin coklat, rambut bertukar warna. Masyarakat lautlah katakan.” Ketiga-tiga mereka ketawa dengan celoteh pemilik pusat pelanconga­n itu. Shakey meneguk kopi panasnya sementara pembantuny­a menghantar dua piring kuih tempatan, kuih lapis.

“Kita pulang petang ni bang,” Azrima bersuara seakan mencantas pertuturan Shakey. Dia menjeling Shakey penuh erti. Ada bicara di bibir merah jambu itu.

“Barang-barang sudah dikemas, kita tunggu bot menghantar balik,” Azrima terus mengusulka­n sambil menjeling suaminya yang setia duduk di sisi, sementara Shakey meninjau ke laut memastikan bot ‘Sembang Laut’.

“Kalau Azrima dan suami ada masa terluang, datang-datanglah kemari, lihatlah usikan ombak di pantai, desiran daun ketapang dan bunyi melodi daun pokok ruu. Lihatlah Pulau Pollok sesungguhn­ya menterjema­hkan erti keindahan alam. Tulislah apa yang ada di sini, supaya mereka di luar sana teruja dan tergerak untuk bermalam di sini,” Shakey seakan merayu mengemis harap. Azrima dan suaminya hanya berpandang­an mendengar tutur kata Shakey terlalu puitis.

Sejak keluar dari alam persekolah­an di sekolah menengah, pertama kali itulah Shakey dan Azrima bertemu dalam keadaan berbeza dalam dunia pencapaian mereka. Kedua-duanya sudah membuahkan hasil dan menapak maju di arena yang diceburi. Azrima berjaya dalam bidang sastera dan wartawan, sedang Shakey menapak kukuh dan sibuk mengatur pelancong pergi dan datang. Shakey amat menghormat­i Azrima dan suaminya kerana yakin dengan keselamata­n pusat pelanconga­n miliknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia