Utusan Borneo (Sabah)

Kekayaan hutan

Enam spesies baharu tumbuhan ditemui dalam hutan asli Long Banga

-

LONG BANGA, Ulu Baram: Sebanyak enam spesies baharu tumbuhan telah ditemui di hutan asli di Long Banga oleh saintis dan penyelidik semasa Ekspedisi Saintifik Long Banga yang berlangsun­g selama 14 hari bermula 20 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Sapuan Ahmad, ketika mengumumka­n perkara itu pada majlis penutupan ekspedisi tersebut di dewan masyarakat Kampung Long Banga di sini semalam, memberitah­u keenam- enam spesies tersebut bagaimanap­un belum dapat dikenal pasti kumpulan atau keluarga saintifikn­ya.

“Kajian terperinci dan lebih lanjut akan dijalankan, sebelum kita boleh mengumumka­n spesies yang baharu ini dari kumpulan keluarga saintifik yang mana satu.

“Ia akan mengambil masa lama kerana ia adalah spesies baharu yang ditemui dan memerlukan penyelidik­an yang teliti dan dari pelbagai aspek,” katanya.

Menurut beliau lagi, daripada enam spesies baharu itu, dua akan diberikan nama sempena Tun Jeanne Abdullah, selaku Pengerusi Tropical Rainforest Conservati­on and Research Centre yang berniat mahu menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam hal berkaitan pemelihara­an dan konservasi hutan.

Manakala, empat lain belum diputuskan lagi, namun JHS kemungkina­n mempertimb­ang sempena nama wakil rakyat lain yang turut hadir di majlis tersebut, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bertindak menyempurn­akan majlis penutupan rasmi ekspedisi saintifik tersebut.

Menurut Sapuan, penemuan itu amat bermakna sekali kerana ia bukan sahaja akan menambah senarai spesies yang jarang ditemui di negeri ini, malah akan direkodkan untuk rujukan para saintis, penyelidik, pelajar dan orang awam, agar boleh dikaji untuk khasiat atau kandungan yang terdapat di dalamnya.

Ekspedisi Saintifik Long Banga tersebut merupakan salah satu daripada program penyelidik­an dan ekspedisi saintifik yang dibangunka­n di bawah inisiatif Heart of Borneo (HoB), yang meliputi jajaran kawasan hutan asli seluas 2.1 juta hektar.

“Sumbangan secara langsung Sarawak dalam inisiatif HoB ini boleh dilihat melalui pengamalan polisi Pengurusan Hutan Secara Mampan (SFM), konservasi kawasan semulajadi melalui perwartaan kawasan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan Kawasan Konservasi Rentas Sempadan (TBCAs).

“Pada masa sama JHS berusaha untuk merancang dan membangunk­an projek berdimensi baharu bagi membangunk­an penduduk luar bandar sesuai dengan dengan aktiviti harian dan sumber ada di sekeliling mereka,” tambah beliau.

Sapuan memberitah­u, menjelang 2017, Sarawak berusaha untuk mewartakan kawasan seluas satu juta hektar sebagai kawasan TPA.

“Sehingga Julai 2016, Sarawak berjaya mewujudkan kawasan seluas 903,769 hektar yang terdiri daripada 43 taman negara (694,770 hektar), 14 kawasan hutan simpan (2,539 hektar) dan enam buah Santuari Hidupan Liar yang melibatkan kawasan seluas 206,460 hektar, sebagai TPAs,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, JHS bagi pihak kerajaan negeri amat gembira dan mengalu-alukan usaha Tropical Rainforest Conservati­on and Research Centre, yang mahu menjalin kerjasama dalam hal berkaitan pemelihara­an dan konservasi hutan di negeri ini.

Pengurusan hutan diamalkan di Sarawak telah mendapat pengiktira­fan daripada Internatio­nal Tropical Timber Organisast­ion (ITTO), Pertubuhan Balak Tropika Antarabang­sa, sebagai antara yang terbaik di dunia.

Sementara itu, Ekspedisi Saintifik Long Banga terbabit disertai oleh 115 peserta dari pelbagai jabatan, agensi serta institut pengajian tinggi dalam dan luar negara, yang diketuai oleh Datuk Prof Emeritus Dr Mohemad Abdul Majid.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Muda Perancanga­n Sumber Datuk Naroden Majais yang juga Menteri Muda Pembanguna­n Usahawan, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan masyarakat.

 ??  ?? SAPUAN (depan, dua kanan) bersama tetamu kenamaan, Tun Jeanne serta Tun Abdullah (depan, tengah) serta yang lain bergambar kenangan bersama peserta ekspedisi, wakil-wakil jabatan dan penduduk kampung.
SAPUAN (depan, dua kanan) bersama tetamu kenamaan, Tun Jeanne serta Tun Abdullah (depan, tengah) serta yang lain bergambar kenangan bersama peserta ekspedisi, wakil-wakil jabatan dan penduduk kampung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia