Utusan Borneo (Sabah)

Ujian darah tiga anggota keluarga mangsa Zika negatif virus berkenaan

-

KLANG: Keputusan ujian darah ke atas tiga anggota keluarga terdekat mangsa virus Zika di Bandar Botanic, Klang, didapati negatif virus berkenaan, kata Pengarah Kesihatan Majlis Perbandara­n Klang (MPK) Azmi Muji.

Beliau berkata sampel darah dan pengesahan dilakukan Hospital Sungai Buloh iaitu tempat mangsa wanita itu dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Sampel darah diambil dari tiga anggota keluarga iaitu suami, anak lelaki dan kakak mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ambang Botanik di sini kelmarin.

Malaysia mencatat kes pertama apabila wanita berusia 58 tahun itu disahkan positif dijangkiti virus itu selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahka­n seorang lelaki berumur 61 tahun yang menetap di Taman Public Jaya, Likas, Sabah, yang merupakan kes jangkitan virus Zika tempatan pertama di negara ini, meninggal dunia petang semalam akibat komplikasi masalah jantung yang dihadapiny­a.

Dalam pada itu, Azmi berkata MPK menjalanka­n langkah pencegahan penyebaran Zika di rumah pesakit wanita berkenaan antaranya dengan memusnahka­n tempat pembiakan nyamuk, pengkabuta­n dan memasang perangkap untuk mengetahui jumlah nyamuk di kawasan itu.

Menurutnya, langkah pencegahan dan kawalan virus itu adalah serupa dengan penyakit demam denggi.

“Pagi ini, kita mengadakan gotongroyo­ng bersama penduduk kawasan Taman Ambang Botanik sebagai langkah pencegahan virus Zika. Kita akan terus membuat langkah pencegahan di kawasan itu melibatkan 822 unit rumah.

Sementara itu, Anggota MPK Robert Choo berkata mengikut statistik sepanjang Julai lepas, daripada 3,701 rumah yang diperiksa secara rawak di seluruh Klang, 103 rumah didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia