Utusan Borneo (Sabah)

Hishammudd­in cadang jumpa bekas ketua pemuda parti komponen, bincang strategi PRU

-

BENTONG: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein bercadang mengadakan perjumpaan bersama bekas-bekas ketua pemuda parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk mencari mekanisme terbaik memperkuku­hkan parti.

Hishammudd­in berkata pertemuan dengan mereka, yang kini menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan, itu penting untuk mencari persefaham­an dan kesepakata­n dalam soal gerak kerja bagi membantu BN menghadapi dan memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sekarang ujian yang dihadapi kita datang daripada pelbagai sudut, dari dalam dan luar negara, malah bukan sahaja parti induk kita diuji, tetapi sayap dan parti komponen juga tidak terlepas daripada masalah.

“Segala hal ini tidak mungkin untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi­nya seorang diri jika kita tidak membantuny­a,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidanga­n perwakilan UMNO Bahagian Bentong di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bentong merangkap Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Hishammudd­in pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO bermula 1998 sehingga 2009 dan bekas ketua pemuda parti komponen BN yang kini menjawat jawatan penting dalam parti dan kerajaan termasuk Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Hishammudd­in berkata sebagai satu-satunya parti yang mempunyai 14 parti komponen di negara ini, BN perlu menunjukka­n keunikan kerjasama politik terutama dalam membantu rakyat di kawasan yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Sembrong, di Johor dan Bentong sendiri.

“Pembangkan­g cuba hendak meniru BN dengan mewujudkan pakatan mereka sendiri, namun tidak berjaya dan akhirnya berpecah, jadi kita mesti buktikan apa yang diwarisi selama ini (kesatuan antara parti komponen) diterjemah dengan baik terutama dalam gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia