ARAMAITI’ TANPA ALKOHOL

Langkah tangani masalah pengambilan alkohol berlebihan

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Menyedari budaya minum alkohol sudah sebati dalam kalangan masyarakat Sabah terutama apabila memasuki bulan Kaamatan ( Mei), usaha akan diambil bagi memastikan pengambilan alkohol secara berlebihan dapat diatasi.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal PenggunaDatukJainabAhmad Ayid berkata, kementeriannya bersama-sama Kementerian Pembangunan Infrastruktur melalui Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) akan berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa majlis keramaian (aramaiti) boleh diadakan namun tidak perlu ada alkohol.

Katanya, pengambilan alkohol secara berlebihan hanya akan memudaratkan diri sendiri.

Beliau berkata, Pegawai Daerah Penampang sendiri ada menyatakan bahawa keramaian boleh diadakan tanpa mabuk atau tanpa minum alkohol.

“Dengan itu, kita akan memperluaskan lagi usaha sebegini. Kita ketahui bahawa ketagihan alkohol ini adalah satu jenis penyakit otak. Ia kerana ada orang yang meminum alkohol tanpa ketahui implikasi yang akan berlaku,” katanya dalam Sidang Media selepas merasmikan Persidangan ‘Asia Pacific Behavioral & Addiction Medicine’, di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kementerian itu dalam memastikan ketagihan alkohol dalam kalangan masyarakat di Sabah dapat dikurangkan.

Jainab berkata, jika sudah terlalu mabuk, kejadian seperti rogol boleh berlaku tanpa disedari. Dengan itu, usaha perlu diambil bagi membendung masalah pengambilan alkohol secara berlebihan dalam kalangan masyarakat Sabah.

Menurutnya, sudah sampai masanya masyarakat di negeri ini mengubah tabiat minum alkohol jika tidak mahu masalah sosial seperti kejadian rogol terus berlaku.

“Sudah sampai masanya kita mengkaji balik bahawa aramaiti boleh diadakan namun, pengambilan alkohol perlu dikurangkan supaya ia tidak menjadi ketagihan,” katanya.

Terdahulu Jainab berkata, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) antara Ogos 2011Julai 2012, Sabah mencatatkan pengambilan alkohol ketiga tertinggi di Malaysia dengan 18.4 peratus selepas Kuala Lumpur (20.30 peratus) dan Sarawak (19.7 peratus).

“Kajian dari UMS juga merekodkan bahawa 17 peratus dari populasi Sabah adalah peminum alkohol tegar dan 50 peratus dari jumlah itu minum dengan cara berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, yang juga Pengarah Klinikal Solace Sabah Dr Prem Kumar Shanmugam berkata, dengan wujudnya Pusat Pemulihan Solace di Sabah, ia memberi orang ramai pilihan untuk merawat ketagihan mereka melalui rawatan perubatan. Ia adalah pusat pemulihan pertama di Malaysia

Beliau berkata, jika seseorang itu ketagih untuk tempoh yang lama, pusat pemulihan ini akan membantu mereka mengubah tabiat minum.

Namun, apa yang penting adalah sokongan keluarga dalam membantu peminum alkohol tegar ini berhenti dari tabiat minum yang membahayakan kesihatan itu.

Bagaimanapun rawatan yang disediakan di Solace memerlukan kos yang agak tinggi iaitu antara RM28, 000 hingga RM60, 000 bergantung kepada kemudahan yang diperlukan oleh seseorang individu.

Pengarah Eksekutif merangkap Konsultan Kanan Psikiatri Promoses Healthcare Pte Ltd, Singapura Prof. Madya Dr Munidasa Winslow berkata, dalam merawat ketagihan mereka menggunakan pendekatan model biopsychosocial yang menggabungkan rawatan secara biologi, psikologi dan sosial.

Kini pendekatan rawatan secara spirital turut dilaksanakan kerana ketagihan boleh membawa kepada penyakit lain seperti skizofrenia dan bipolar yang mana memerlukan ubat untuk merawatnya. Atas sebab itu, rawatan akan digabungkan dengan model biopsychosocial.

Turut hadir adalah Ketua Jabatan Sains Bioperubatan & Terapi, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UMS Prof Dr John Arnold Urban D’Souza; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Sabah Superintendan Mohamed Fadzil A. Rahman dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Bakri Bibi.

DARI kiri; Munidasa, Jainab, John, Mohamed Fadzil, Bakri dan Prem semasa Majlis Perasmian Persidangan ‘Asia Pacific Behavioral & Addiction Medicine’ kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.