Utusan Borneo (Sabah)

Ban rosak di Selangor akibat fenomena air pasang besar dibaiki

-

SHAH ALAM: Semua ban di kawasan pesisir pantai di Selangor yang rosak akibat fenomena air pasang besar sejak Ahad lepas, telah dan sedang diperbaiki bagi mengelak kejadian banjir berulang.

Exco Infrastruk­tur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib dalam kenyataan, berkata banjir di lima daerah di negeri ini disebabkan air laut melimpahi ban sedia ada, selain terdapat juga kawasan ban telah rebak akibat arus deras.

Beliau berkata ban yang rosak akibat fenomena berkenaan dan sedang dalam proses pembaikan segera melibatkan dua di Sungai Air Tawar, Kampung Sungai Lang dan Kampung Sungai Apong, kesemuanya di Sabak Bernam dekat sini.

Zaidy berkata pembaikan semula yang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor itu mampu mengelak kemasukan semula air laut pada masa akan datang.

Katanya projek menaik taraf ban melibatkan kerja-kerja melebar dan meninggika­n ban sepanjang 730 meter di Sungai Lang, Sabak Bernam dijangka bermula bulan depan, dengan anggaran perbelanja­an termasuk kajian dan reka bentuk sebanyak RM3.5 juta.

“Kejadian ini mengulangi fenomena air pasang besar di luar kebiasaan pada 2006 iaitu 10 tahun yang lalu dan banjir boleh menjadi lebih buruk jika hujan lebat, namun sehingga kini tiada amaran hujan lebat dikeluarka­n oleh Jabatan Meteorolog­i.

“Hal ini akan berlanjuta­n pada tahun ini khususnya pada minggu ketiga setiap bulan dan dijangkaka­n (air laut) mencecah ketinggian sehingga 5.7 meter,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di sekitar kawasan pantai sentiasa peka dengan maklumat terkini yang dikeluarka­n agensi terlibat selain mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia