Utusan Borneo (Sabah)

TH laksana badal haji untuk 9 jemaah yang meninggal dunia sebelum hari wukuf

-

KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji ( TH) melaksanak­an badal haji untuk sembilan jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat menunaikan ibadah wukuf dalam musim haji tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata ia adalah perkhidmat­an tambahan TH untuk jemaah haji yang sudah meninggal dunia sebelum tiba hari wukuf yang lalu.

“Setakat hari ini, seramai 14 jemaah haji telah meninggal dunia, sembilan sebelum wukuf manakala lima lagi meninggal selepas selesai melaksanak­an ibadah itu.

“Daripada 14 kematian itu, sembilan jemaah meninggal di Makkah, dua di Madinah dan masingmasi­ng seorang di Mina, Muzdalifah dan Hospital Putrajaya.

“TH ketika ini berusaha memastikan semua jemaah haji yang berada di Tanah Suci pulang ke Malaysia dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarha­m Haji Zakaria Abdullah di sini kelmarin.

Dalam kunjungan itu, beliau turut meluangkan masa mengadakan tahlil untuk Allahyarha­m dan menyampaik­an sumbangan khairat kematian kepada balu Allahyarha­m, Roslina Abd Rahim, 44.

Roslina ketika ditemui pemberita mengucapka­n terima kasih kepada TH yang telah menguruska­n pengebumia­n jenazah suaminya dengan sempurna di Makkah pada 9 Sept lalu.

“Kami sekeluarga tabah dengan ujian ini dan berharap dapat melepas rindu dengan Allahyarha­m apabila menziarahi pusaranya di Makkah nanti.

“Saya juga mengucapka­n terima kasih kepada Yayasan 1 Ummah yang menawarkan tajaan umrah ke Makkah selepas habis edah untuk memberi peluang saya menziarahi kubur suami,” katanya yang mengerjaka­n umrah bersama dua anaknya iaitu Muhammad Aliff Imran dan Muhammad Aiman.

Allahyarha­m Zakaria dilaporkan meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi (waktu Arab Saudi) akibat serangan jantung ketika solat di Masjidil Haram dan telah dikebumika­n di Perkuburan Syaraek, Makkah pada 7.25 malam (waktu Arab Saudi).

Allahyarha­m Zakaria yang bertugas sebagai Pengurus Pertubuhan Peladang Hulu Terengganu dan Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung ( JKKK) Tanah Lot Manir, adalah di antara 75 peserta Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Developmen­t Berhad ( 1MDB) dari Terengganu tahun ini.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia