Utusan Borneo (Sabah)

Irman Gusman dilucut jawatan Speaker DPD

-

JAKARTA: Badan Kehormatan (BK) Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD) mengambil keputusan memecat Irman Gusman dari jawatan Speaker dewan itu kerana telah ditahan oleh Suruhanjay­a Pemberanta­san Rasuah ( KPK) bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Ketua BK, Andi Mappetahan­g Fatwa berkata, tindakan memecat Irman adalah kerana beliau melanggar etika dan Tata Tertib DPD RI di bawah Pasal 52 Peraturan DPD yang menyebut manamana ketua atau wakil ketua DPD diberhenti­kan apabila disahkan sebagai suspek bagi sebarang kes jenayah.

Mediatempa­tanmemetik Fatwa sebagai berkata bagaimanap­un status Irman sebagai anggota dewan itu masih belum ditentukan sehingga wakil rakyat dari Sumatera itu didakwa ke mahkamah kelak.

Katanya, tindakan pemecatan itu diputuskan dalam satu sidang pleno malam kelmarin dan BK juga telah mendapat khidmat nasihat pakar undang-undang sebelum mengambil keputusan itu.

Pada awal pagi Sabtu lepas, Irman ditahan di rumahnya oleh KPK dalam satu operasi khas bagi membantu siasatan kes berkaitan kuota gula import yang diberikan kepada sebuah syarikat di Sumatera Barat.

KPK turut menahan sepasang suami isteri ketika keluar dari rumah Irman dan merampas satu bungkusan yang mengandung­i wang Rp100 juta (kira-kira RM30,000) dalam rumah pemimpin politik kanan itu.

DPD adalah sebuah lembaga tertinggi negara dalam sistem ketatanega­raan Indonesia dan anggotanya terdiri daripada perwakilan setiap provinsi yang dipilih melalui pilihan raya.

Irman, 54, dilantik sebagai Speaker DPD pada 2009 dan merupakan seorang ahli politik yang popular dengan jolokan ‘ Pejuang Daerah’.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia