Utusan Borneo (Sabah)

Pembangkan­g tiada calon PM dipandang layak, kata KUASA

-

KUALA LUMPUR: Pembangkan­g gagal untuk menampilka­n calon Melayu yang dipandang layak untuk menjadi perdana menteri, kata sebuah badan pemerhati politik dan pertubuhan bukan kerajaan, KUASA.

Ketua Eksekutif KUASA, Praba Ganesan berkata akibat ketiadaan calon itu, pembangkan­g berkemungk­inan besar akan kehilangan undi di Perak dan Selangor.

Kesimpulan ini berasaskan kaji selidik yang dijalankan KUASA pada Ogos melibatkan lebih 1,200 orang di Selangor dan Perak, katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Praba berkata: “Pembangkan­g tidak ada orang yang mempunyai kredibilit­i untuk dicalonkan sebagai perdana menteri. Isu ini sangat penting dalam kalangan pengundi.

“Beberapa kawasan yang diramalkan kehilangan undi berkaitan isu ini ialah Kota Damansara, Dusun Tua dan Bangi di Selangor.”

“Melihat kepada perkembang­an semasa, PAS kini tidak sehaluan dengan PKR. PAS boleh mendakwa bahawa polisi yang dilaksanak­an PKR terhadap orang Islam tidak bagus, maka ia pasti memberi kesan ketara di kawasan yang mempunyai penyokong besar PAS seperti Sepang, Dengkil dan Tanjung Sepat di Selangor.

“Di Perak, situasinya adalah sama kerana masyarakat Melayu di negeri itu akan memberi perhatian terhadap calon pemimpin daripada kalangan Melayu.

“Justeru, DAP mungkin tidak akan berjaya meyakinkan pengundi Melayu di Perak kerana Parti Amanah Negara dan PKR pasti menghadapi kesukaran mendapat undian orang Melayu untuk melawan UMNO dalam pilihan raya kelak tanpa jalinan kerjasama dengan PAS,” kata Praba.

Beliau berkata Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu yang beragama Islam walaupun tiada undangunda­ng dalam Perlembaga­an Persekutua­n yang menghalang orang bukan Melayu menjawat jawatan itu.

Mengenai kaji selidik dijalankan KUASA selama 14 hari itu, Praba berkata ia membabitka­n 1,287 responden - 885 daripada mereka Melayu, 205 Cina, 162 India dan 35 bangsa lain.

“Tinjauan mendapati majoriti responden memberi keutamaan tinggi terhadap calon Melayu sebagai perdana menteri. Selain itu, KUASA mendapati pembangkan­g gagal menyelesai­kan isu-isu semasa dengan berkesan,” katanya.

KUASA mendapati pembangkan­g bukan sahaja gagal menyelesai­kan isu semasa tetapi mengamalka­n budaya menuding jari dan menyalahka­n sesama mereka, katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia