Utusan Borneo (Sabah)

Ibu tunggal dipenjara dua tahun miliki ikat kepala berkaitan pengganas

-

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin selepas mengaku bersalah memiliki bahan berkaitan perlakuan pengganas iaitu suatu ‘ikat kepala’ kumpulan Daesh.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Nor Izatul Farahirah Ismail, 36, yang bekerja sendiri dan memerintah­kannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 19 Mei lalu.

Nor Izatul Farahirah berasal dari Kelantan didakwa memiliki bahan itu yang berwarna hitam bertulis jawi di sebuah rumah di Desa Pandan, di sini, pada 11.50 pagi, 19 Mei lepas.

Ibu seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 130JB( 1)( a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan berkenaan.

Berdasarka­n fakta kes, ketika menonton nasyid di Majlis Solidariti Palestin, di Dataran Shah Alam, Nor Izatul Farahirah telah membeli sehelai mafela berlogo Palestin, dua pengikat kepala berwarna hitam yang salah satunya berlogo bulat putih dipercayai logo Daesh.

Pengikat kepala berlogo Daesh itu telah dihantar untuk dianalisis dan pakar pengkaji kumpulan pengganas mengesahka­n pengikat kepala itu adalah berkait dengan kumpulan berkenaan dan tertuduh merupakan seorang penyokong kepada ideologi keganasan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon hukuman penjara yang setimpal kerana kesalahan yang dilakukan itu serius selain memberi pengajaran kepada orang awam.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Nor Izatul Farahirah, merayu hukuman penjara singkat dan tidak dikenakan denda kerana anak guamnya tidak mampu dan dia juga menanggung anak dan bapanya yang berusia 70-an.

Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Kajang. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia