Utusan Borneo (Sabah)

Rayuan pendakwaan untuk tambah hukuman penjara pengusaha kantin ditolak

-

PUTRAJAYA: Seorang pengusaha kantin hanya perlu menjalani hukuman penjara 18 bulan kerana memiliki 39 klip video berkaitan keganasan selepas pihak pendakwaan gagal dalam permohonan untuk menambah hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed merayu supaya mahkamah menambah hukuman penjara ke atas Muhammad Sani Mahdi Sahar, dengan berhujah bahawa tindakan beliau (Muhammad Sani) dilihat seperti menyokong Islamic State (IS).

Bagaimanap­un, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan pendakwaan dan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menjatuhi hukuman penjara 18 bulan ke atas lelaki berusia 23 tahun itu.

“Tiada sebab untuk kami mencelah,” kata beliau semasa mengekalka­n keputusan Mahkamah Tinggi yang mengenakan hukuman penjara 18 bulan terhadap Muhammad Sani.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama beliau ialah Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim.

Muhammad Sani mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dakwaan memiliki 39 klip video di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak, Ledang, Johor, pada 1.50 tengah hari, 9 Nov, tahun lepas.

Menurut fakta kes, polis merampas telefon bimbit Muhammad Sani yang mengandung­i rakaman video berkaitan keganasan.

Semasa siasatan, Muhammad Sani mengaku memuat turun rakaman video itu daripada sebuah laman web pengganas ke dalam telefon bimbitnya dan kemudian menunjukka­n rakaman itu kepada beberapa rakannya.

Di Mahkamah Rayuan kelmarin, peguam Nurain Sakina Zakri yang mewakili Muhammad Sani, memohon mahkamah supaya mengekalka­n hukuman penjara 18 bulan disebabkan tiada keganasan yang terlibat.

Beliau berkata laman web yang menjadi sumber anak guamnya memuat turun rakaman video itu boleh diakses dengan mudah dan tidak disekat.

Adam berhujah bahawa Muhammad Sani mempunyai pengetahua­n tentang IS dan alasan yang diberinya bahawa dia memuat turun rakaman video itu kerana ingin tahu sebab kumpulan militan itu dilabel sebagai pengganas adalah tidak masuk akal.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia