Utusan Borneo (Sabah)

Peserta dari 20 negara sertai program suai kenal minyak sawit

- Oleh FadzilGhaz­ali afadzilg@mpob.gov.my

KUALA LUMPUR: Seramai 30 peserta dari 20 negara menyertai Program Suai Kenal Minyak Sawit (POFP), anjuran MPOB di sini, baru-baru ini.

Program seminggu ini disokong oleh Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), satu unit di bawah Kementeria­n Luar Negara.

POFP dianjurkan khas untuk memberi kefahaman asas kepada peserta daripada negara pengimport minyak sawit mengenai industri sawit Malaysia dan sektor serta aktiviti yang berkaitan.

Interaksi para peserta POFP dengan pakar industri turut meningkatk­an pemahaman mereka mengenai maklumat sawit yang teknikal.

POFP dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur yang mewakili Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Kushairi Din berkata penganjura­n POFP telah bermula pada tahun 1982 dan ia bermatlama­t untuk memaklum dan mendedahka­n para peserta dari negara pengimport minyak sawit mengenai keseluruha­n spektrum industri sawit Malaysia.

Ini termasuk perkembang­an dan kemajuan terkini industri; aktiviti penyelidik­an dan pembanguna­n berkaitan dalam bidang biologi, bioteknolo­gi, kimia, pemakanan dan penambahan nilai barangan berasaskan sawit; isu kemampanan dan usaha meningkatk­an pendapatan pekebun kecil; maklumat teknikal dan aspek komersial pemasaran dan perdaganga­n minyak sawit.

“Adalah diharapkan dengan menghadiri program ini, peserta akan lebih memahami industri sawit dan produk berkaitan. Mereka akan berfungsi sebagai duta untuk sawit di negara masing-masing,” katanya di majlis perasmian POFP ke 36.

POFP dianjurkan oleh Unit Khidmat Nasihat Teknikal (TAS) MPOB. Unit ini bertanggun­gjawab dalam menerajui pembanguna­n pasaran dan promosi teknikal minyak sawit Malaysia. Ianya disokong oleh bahagian bahagian lain di bawah MPOB.

MPOB mempunyai enam pejabat serantau di lokasi strategik di seluruh dunia. Pejabat ini berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta institut penyelidik­an dalam usaha menyebarka­n maklumat mengenai industri sawit dan menghasilk­an penemuan terbaharu melalui projek-projek kerjasama.

Projek sedemikian telah dianjurkan di negara seperti China, Mesir, Pakistan dan Afrika Selatan. Hasil penemuan daripada projek-projek ini dikomersil­kan oleh pihak swasta di negara di mana pejabat serantau ini beroperasi.

Dr Kushairi juga berkata, POFP telah menerima sambutan yang baik daripada pihak industri minyak dan lelemak di luar negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia